Umno tidak desak PRU-15 dalam masa terdekat, kata Mahdzir Khalid
(FMT) – Umno tidak memberi tekanan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, tetapi meminta diadakan selepas kes Covid-19 berada pada tahap yang rendah.
Naib Presidennya Mahdzir Khalid berkata mengambil kira kebajikan rakyat yang berdepan pandemik Covid-19 dan banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini, dua isu itu menjadi keutamaan untuk diselesaikan buat masa ini berbanding soal PRU.
Katanya pada peringkat awal, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memang ada membayangkan untuk mengadakan PRU-15 dengan segera selepas mengambil kira jurang antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang seperti yang dilihat pada undian Belanjawan 2021.
“Tetapi dalam keadaan Covid-19 yang sedang dalam tahap kritikal, kita (Umno) minta PRU diadakan selepas Covid-19 berada pada tahap rendah dan kita tidak menekan untuk dibuat pada waktu ini. Pada waktu ini, banjir pun sedang melanda Johor, Pahang serta ada sedikit Terengganu dan Kelantan.
“Biarlah kita bercakap secara rasional, bukannya kerana politik, kita bercakap hendak juga pilihan raya. Rakyat sedang memerhatikan kelakuan ahli politik.
“Jadi, biar kita tengok Covid-19 dan apa jua bencana, kita kena selesaikan (isu) rakyat dahulu, dan selepas itu baru pergi kepada pilihan raya,” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau Stesen Pencawang Utama Kabel Dasar Laut Tenaga Nasional Bhd (TNB) Senibong, di Permas Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB Johor, Mohamed Noh Seth.
Mahdzir yang juga Pengerusi TNB berkata demikian mengulas pandangan beberapa pihak supaya keutamaan diberi terhadap usaha mengawal penularan Covid-19 dan kebajikan rakyat dalam mendepani situasi banjir berbanding merangka percaturan politik mengadakan PRU dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dilaporkan berkata mesyuarat perwakilan Umno bahagian menggesa PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun tertakluk kepada situasi semasa Covid-19.