Annuar ulangi dakwaan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno jumpa Loke dari DAP


(FMT) – Bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa mengulangi dakwaannya beberapa pemimpin Umno menemui Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook (gambar).

Dalam wawancara dengan TV Pertiwi, Annuar berkata, pemimpin itu termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi, badan tertinggi pembuat keputusan parti itu, tetapi beliau tidak menamakan pemimpin terbabit.

“Memadai saya menyatakan saya mendapat maklumat sahih…bahawasanya di luar keputusan parti, ada pimpinan tertinggi parti yang terlibat dalam pertemuan dengan Anthony Loke dari DAP,” katanya ketika diminta menjelaskan dakwaannya baru-baru ini yang Umno sedia bekerjasama dengan DAP untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau berkata, jika ada rancangan untuk bekerjasama dengan DAP, ia sepatutnya dibincangkan dalam parti.

“Saya tak kata salah atau tidak salah perbuatan itu, terpulang kepada penilaian.

“Saya hanya menyatakan perisitwa yang berlaku dan sebagai setiausaha agung parti yang menjalankan keputusan parti, perkara-perkara tersebut (kerjasama dengan DAP) tidak pernah diputuskan oleh parti.”

Ditanya sama ada rancangan yang dikatakan itu ada kaitan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi perbicaraan, Annuar berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan.

“Kami masih kawan. Saya hanya mahu bercakap mengenai fakta dan kebenaran saja,” katanya sambil menambah beliau tidak berdendam atas penyingkirannya daripada jawatan setiausaha agung.

Pada 6 Jan lalu, Annuar mendakwa dasar Umno “No DAP, No Anwar” dan sokongan “en-bloc”untuk kerajaan Perikatan Nasional tidak dihormati sesetengah individu yang mahu bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baru.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudiannya membidas Annuar dengan mendakwa beliau mereka cerita berhubung kerjasama Umno-DAP yang tidak wujud.

 



Comments
Loading...