Pembangkang seperti ‘anjing menyalak bukit’ persoal darurat


(Ismaweb) – Tindakan pembangkang menolak rasional serta alasan pengisytiharan darurat bagi menyelamatkan Malaysia daripada wabak COVID-19 seperti ‘anjing menyalak bukit’.

Demikian sindiran pedas Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman selepas pembangkang menolak alasan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi melaksanakan darurat berkuat kuasa hingga 1 Ogos.

Beliau secara sinis berkata, ahli politik yang tidak faham bahasa ini harus diabaikan.

“Macam budak-budak, tak puas hati mak ayah suruh pulang ke rumah, nak main lagi.

“Bagai anjing menyalak bukit. Abaikan sajalah mereka ini.

“Ramai yang menyampah dah dengan ahli politik mabuk kuasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, pengisytiharan darurat ini bukan bentuk rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan awam sebaliknya akan terus berfungsi seperti sedia ada dan tidak akan terganggu.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama menganggap undang-undang sedia ada termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk menangani wabak COVID-19.

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Kononnya kata mereka, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak tersebut.

Pandangan sama mengenai darurat turut dilontarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin berusia 95 tahun itu berpendapat, kerajaan mempunyai kuasa yang cukup untuk menangani penularan COVID-19 tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Katanya, ia berikutan rakyat di negara ini patuh kepada arahan kerajaan yang membabitkan sekatan pergerakan.

 



Comments
Loading...