UMNO lemas dalam kolam yang cetek – Shamsul Amri
(Astro Awani) – UMNO kini diumpamakan ibarat sebuah parti yang lemas di kolam yang cetek, serta masih terkapai-kapai mencari haluan, selepas tewas pada Pilihan Raya Umum 2018, kata Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin.
Dalam ruangan pendapat yang disiarkan oleh Sinar Harian hari ini, beliau berkata, kehilangan kuasa, keseluruhan organisasi UMNO mula terungkai dari atas hingga ke bawah, seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.
Katanya lagi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang sekian lamanya diibaratkan jantung dan otak UMNO, tidak berfungsi dengan baik, hingga mengakibatkan parti itu dikuasai pihak-pihak yang berkepentingan peribadi.
“Selepas PRU14, UMNO yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh para anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan Pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.
“Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14,” katanya lagi.
Shamsul berkata, UMNO merupakan parti yang cukup lama, tertubuh pada tahun 1946 di pekarangan istana sebagai suatu gabungan beberapa kumpulan sosial Melayu daripada golongan profesional, guru dan aktivis nasionalis yang anti-Malayan Union.
Menurutnya lagi, UMNO yang bakal menjejak usia 75 tahun pada bulan Mei ini, telah menjadi parti peneraju negara untuk lebih 60 tahun, dan seharusnya sudah matang, terutamanya para pemimpinnya, tetapi jelasnya tidak.
Shamsul berkata, MKT semakin lemah kerana Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), beberapa ahli MKT dan pimpinan utamanya kini terperangkap dalam ‘kluster mahkamah’.
“Apabila tamat riwayat kerajaan Pakatan Harapan, pada Februari 2020 dan muncul kerajaan Pakatan Nasional (PN), apa yang tinggal pada UMNO, yang kini telah bersama Pas membentuk Muafakat Nasional (MN), seolah-olah diberi ‘nyawa kedua.’ Mereka jadi sebahagian daripada kerajaan tapi tanpa sebarang taring.
“Dulu, semua menteri UMNO adalah ahli MKT. Kuasa UMNO dengan itu terpusat di MKT. Malah banyak dasar kerajaan tercetus di MKT dan akhirnya dilaksanakan,” katanya lagi.
Shamsul berkata, jurang antara elit UMNO dan akar umbi UMNO jauh sekali dan tak mudah dirapatkan.
“Biduk lalu, kiambang sudah tidak bertaup lagi. MKT tidak berani membuat sebarang keputusan setelah 189 UMNO bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Bila MKT lemah, jurangnya dengan UMNO bahagian dan akar umbi sungguh melebar dan para wakil rakyat UMNO di Parlimen dan ADUN pula kebanyakan membisu, maka satu-satunya jalan keluar adalah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari,” katanya lagi.