Anwar hantar surat kepada semua Ahli Parlimen rayu Agong batal darurat


(FMT) – Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelaksanaan darurat dan Parlimen segera bersidang.

Bagaimanapun, presiden PKR itu berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan mengikut pertimbangan semua Ahli Parlimen dan parti masing-masing.

Beliau mencadangkan semua Ahli Parlimen mengemukakan rayuan itu kepada Agong sebelum Jumaat.

“Semoga warkah ini mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Jan,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, tujuan Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam surat kepada Ahli Parlimen berkata, pengisytiharan darurat tidak perlu kerana ada langkah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan.

Katanya, pelaksanaan darurat hanya akan menyebabkan ekonomi negara bertambah meruncing.

“Kami beranggapan perdana menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sesungguhnya tidak terikat dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi.

“Perdana menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa.”

Selasa lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.

Ia disusuli jaminan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berkata, darurat bukannya rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan berakhir.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah kemudiannya membantah pengisytiharan darurat yang didakwanya tindakan Muhyiddin untuk menyelamatkan diri, merencatkan demokrasi dan menafikan suara rakyat.

Blok pembangkang itu berkata, darurat memberi Muhyiddin “kuasa mutlak…untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya”.

 



Comments
Loading...