Politik desperado Anwar sudah tidak laku


(Utusan) – Tindakan politik desperado Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat disifatkan sebagai sudah tidak laku.

Pengerusi  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris berkata, umum mengetahui tujuan pengisytiharan darurat itu dilakukan demi kesejahteraan rakyat dan negara dalam usaha membendung Covid-19.

Tegasnya, tiada guna Anwar berterusan menjadi penghasut bersiri kerana rakyat sudah tidak mudah termakan dakyah politik desperado Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Bentuk hasutan yang digerakkan sebegini boleh merosakkan minda rakyat terutama generasi muda dan janganlah jadi penghasut bersiri.

“Persoalannya, kenapa sewaktu berada dalam kerajaan memerintah beliau tidak betul-betul membantu rakyat namun kini sibuk berjuang demi rakyat dan negara?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, dalam situasi yang tidak menentu pada masa ini adalah lebih baik semua Ahli Parlimen meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang prihatin dan turun padang membantu rakyat yang sangat memerlukan sokongan moral, motivasi dan lain-lain lagi.

Semalam, Anwar mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Seri Paduka bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Tindakan itu diharap mendapat ihsan dan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera.

 



Comments
Loading...