Kurang 50 peratus UMNO Bahagian sokong tolak kerjasama Bersatu?


KEBENARAN terhadap UMNO dalam peringkat akar umbi yang dikatakan rata-rata menyokong untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dinilai semula.

Ini kerana, dikatakan tidak sampai 50 peratus UMNO Bahagian membawa usul dan menyokong UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

Jika perkara ini benar, maka ada sesuatu yang tidak beres dalam kepimpinan tertinggi UMNO yang sebelum ini didakwa wujud kartel-kartel tertentu.

Ini termasuklah dakwaan bekerjasama dengan PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan dalam pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ada orang tanya saya betul ke jumlah Bahagian yang membawa usul tolak kerjasama dengan PPBM (Bersatu) hanya 81, bukan 189, 145, 118 atau 101 seperti yang didakwa.

“Bila ada orang tanya tu, maka saya jawab lah. Jawapan saya, kemungkinan besar, benar.

“Di Wilayah Persekutuan, misalnya, setahu saya jumlahnya hanya tiga, Setiawangsa salah satu daripadanya. Putrajaya menyokong kerjasama dengan Bersatu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Seputeh, saya dimaklumkan tidak bawa usul sokong tolak kerjasama dengan Bersatu. Malah, Titiwangsa sendiri tidak membawa perkara ini di dalam Persidangan Bahagian.

“Ini disahkan oleh beberapa orang perwakilan Bahagian Titiwangsa.”

Demikian kata Timbalan Ketua Bahagian, UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, dalam satu kenyataan menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau juga memaklumkan UMNO Bahagian di Perak dan Johor juga menyatakan pendirian sama terhadap kerjasama dengan Bersatu.

“Di Perak, saya dimaklumkan ada sejumlah bahagian tidak membawa usul ini. Begitu juga di Johor, Pahang dan Pulau Pinang.

“Bolehlah kita sama-sama tanya sahabat-sahabat kita perwakilan di bahagian-bahagian yang lain juga dan senaraikan siapa yang bawa dan siapa yang tidak bawa usul ini,” ujarnya.

Terdahulu wujud dakwaan mengatakan sebanyak 189 bahagian dikatakan menyokong UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menafikan dakwaan tersebut.

Kata Annuar, secara rasmi membuat usul sedemikian ialah, 99 bahagian yang secara terus menolak kerjasama dengan Bersatu, bukanlah 189 seperti didakwa.

Malah beliau dalam sidang akhbar penggugurannya daripada jawatan Setiausaha Agung BN itu juga menafikan bahagiannya menolak kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Tun Faisal memaklumkan kepimpinan UMNO perlu realistik dalam menentukan hala tuju parti untuk menghadapi PRU-15.

Katanya, akar umbi dapat memikirkan dengan rasional mengenai realiti UMNO serta keperluan dalam penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional demi kelangsungan parti pada masa hadapan.

“Jika begitu keadaannya, selepas beberapa kali usaha memutuskan kerjasama dengan Bersatu, sokongan terhadap PN dibuat dan selepas beberapa kali usaha untuk memberikan sokongan kepada Anwar serta bekerjasama dengan Dap melalui Jajaran Politik Baru menemui kegagalan.

“Eloklah kita memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat dan membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19 (Koronavirus) ini,” katanya.

 



Comments
Loading...