Pembangkang mahu bawa isu gantung parlimen ke mahkamah
(Malaysiakini) – Pembangkang akan memfailkan tuntutan di mahkamah bagi mencabar tindakan kerajaan menggantung parlimen, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
“Apa yang kita nak ajukan ke mahkamah, bukan darurat, tetapi keperluan meneruskan dengan mesyuarat parlimen, supaya parlimen boleh terus bersidang.
“Jadi yang kita nak ajukan ke mahkamah mungkin esok atau lusa, oleh barisan peguam, atas permintaan saya dan rakan-rakan PH, adalah untuk memastikan mahkamah memutuskan supaya parlimen dapat bersidang terus tanpa menyentuh soal darurat,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook tadi.
Dia mengulas mengenai herdikan segelintir pihak yang membidas pembangkang yang mahu membawa isu berkenaan darurat ke mahkamah sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan salah dari segi undang-undang.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata bahawa pasukan peguamnya telah ditugaskan untuk menyiapkan “permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat” oleh kerajaan Muhyiddin Yassin.
Ini selepas dia meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.
Kata Anwar, ada pihak yang terus mempertikaikan rancangan PH untuk membawa hal tersebut ke mahkamah tanpa terlebih dahulu mengambil tahu apa yang ingin dikemukakan mereka.
Sedangkan katanya, PH ingin membawa soal penggantungan parlimen ke mahkamah semata-mata bagi memastikan isu rakyat dapat dibahaskan, keterlanjuran kerajaan dan kelemahan dalam usaha menangani Covid-19 dapat diperbetul.
“Kita tak mahu digunakan peluang darurat ini tanpa semak dan imbang, dan boleh mereka (kerajaan) lakukan sewenang-wenangnya,” katanya lagi.