Membongkar agenda menentang pengisytiharan Darurat


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR, HARAKAH

Malaysia kini melalui tempoh Darurat. Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menggunakan kuasa Baginda berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan Darurat setelah meneliti sembah maklum Perdana Menteri selain sembah taklimat dari para pegawai kanan kerajaan serta berunding dengan Raja-raja Melayu.

Baginda yakin bahawa Darurat ini merupakan langkah paling berkesan buat masa ini bagi menghadapi pandemik COVID-19 yang kini mencecah angka yang sangat membimbangkan dalam negara. Dalam pada itu negara juga sedang menghadapi bencana banjir terutama di beberapa negeri di Semenanjung selain di Sabah dan Sarawak.

Lantas atas keputusan itu dan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat dan negara, sewajarnya semua pihak berlapang dada dan patuh pada segala syarat dan peraturan yang berkuatkuasa lantaran darurat ini dengan harapan bencana yang sedang menimpa negara ini akan dapat dikawal dengan lebih baik dan akhirnya ditangani sehingga rakyat dapat kembali hidup seperti sediakala dan negara dapat mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan.

Walaupun demikian masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan masih mahu bermain politik dengan mempertikaikan pengisytiharan ini dan malah mendesak Ahli-ahli Parlimen agar mengutus warkah bantahan ke Istana Negara agar Darurat ini dibatalkan.

Adakah tindakan ini rasional mengambil kira keadaan kritikal yang sedang kita hadapi dalam negara apatah lagi perkenaan Yang di-Pertuan Agong telah pun diberikan setelah melalui pelbagai proses sebagaimana yang dinyatakan di atas?

Blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan mahu membina keraguan di kalangan rakyat terhadap keperluan dan kesahihan pengisytiharan ini, sedangkan saban hari angka-angka yang membimbangkan keluar dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Setakat artikel ini ditulis Malaysia telah mencatatkan 155,095 kes dengan 594 kematian, adakah Anwar dan blok pembangkang ambil peduli akan angka-angka ini dalam keghairahan mereka bermain politik itu, atau ianya tidak penting buat mereka?

Rata-rata rakyat Malaysia sudah bosan dengan politiking pihak ini khasnya yang mahu menangguk di air keruh. Berpada-padalah berpolitik di saat rakyat menderita dan dalam kebimbangan yang tidak menentu.

Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat jelata agar memberikan tumpuan dan kerjasama kepada kerajaan bagi bersama menghadapi ‘peperangan’ ini, sepatutnya Ketua Pembangkang juga begitu, memberi contoh yang baik pada rakyat demi kepentingan negara bukannya menghasut dan mengadu-domba.

Tempoh Darurat ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID 19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Ini bermakna paling lama ianya berkuatkuasa adalah sehingga 1 Ogos, namun jika ditakdirkan Allah S.W.T terutama dengan kemasukan vaksin pada bulan Februari nanti, angka ini dapat dikawal, ia mungkin ditamatkan lebih awal.

Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya di hari sama Darurat diisytiharkan telah memberikan jaminan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 boleh diadakan sejurus tamat tempoh Darurat ini dan keadaan kembali terkawal, beliau menyebut:

“Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan. Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah.”

Apakah lagi yang Anwar dan blok pembangkang mahu? Dari sibuk bermain dengan angka-angka sokongan dari kalangan Ahli-ahli Parlimen yang beliau jaja saban hari sejak Kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih dari PH, lebih baik beliau dan sekutunya memberi tumpuan terhadap nasib dan kebajikan rakyat. Atau adakah Anwar gentar menghadapi PRU ke-15 seawal bulan Ogos sebagaimana dibayangkan PM itu?

Bagi saya itulah yang sebenarnya. Anwar lebih ghairah mahu merampas kembali Kerajaan Persekutuan melalui sokongan Ahli-ahli Parlimen, sebagaimana PH dahulu jatuh dan ketika itu PN dituduh masuk ikut pintu belakang, tebuk atap dan sebagainya, kini Anwar pula rupanya sedang menunggu-nunggu pintu belakang Kerajaan PN terbuka atau bumbungnya tertebuk bocor.

Media sosial gawat apabila dikatakan kononnya ada Ahli-ahli Parlimen BN khasnya dari Umno yang akan mengalih sokongan pada Anwar dan bloknya, jika benar tidakkah itu masuk ikut pintu belakang juga?

Apa pun saya terlalu yakin tiada dari pihak pendukung kerajaan sama ada dari Umno dan BN mahupun PAS atau mana-mana pendukung PN mahupun GPS Sarawak yang tergiur mahu berkerjasama dengan Anwar dan gerombolannya lebih-lebih lagi DAP. Merobohkan kerajaan ini bermakna memberi nyawa dan laluan kembali kepada PH yang sudah pasti akan kembali didominasi DAP yang tidak sabar-sabar mahu kembali naik junjung.

Anwar dan PH mahu menggagalkan sebarang usaha penyatuan politik umat Melayu Islam yang sedang diusahakan Muafakat Nasional (MN) dan PN. Penyatuan mantap kuasa politik Melayu Islam akan menghancurkan apa sahaja peluang Anwar dan PH terutamanya untuk naik menjadi Perdana Menteri, cita-citanya yang tidak tercapai sehingga sudah menjelang maghrib usianya.

Itu sebenarnya kebimbangan Anwar dan PH, kerana itu mereka tidak berminat kiranya diadakan Pilihan Raya Umum awal kerana apa sahaja saki-baki kekuatan mereka akan terkikis dan lupus apabila bermuafakat dan berpakat PAS, Umno, BERSATU dan lain-lain parti yang kini mendukung Kerajaan PN menghadapi PH yang kini longgar dan longlai.

Yang pastinya undi umat Melayu akan bersatu di belakang kuasa politik baru penyatuan tadi lantas mengakibatkan kerusi-kerusi Melayu yang dipegang PH terutamanya melalui PKR dan PAN akan kecundang. DAP mungkin mampu pertahankan undi bukan-Melayu, tetapi itu pun sudah mula berkurangan dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah baru-baru ini dan sebelumnya PRK Tanjong Piai.

Anwar selama-lamanya akan kempunan dan PH pasti tidak akan mampu kembali berkuasa apabila kesatuan politik umat Melayu tadi terbentuk. Kerana itu Darurat ini bagi Anwar dan PH adalah penghalang cita-cita mereka dan ianya perlu digagalkan. Realitinya merekalah yang nampaknya akan gagal dan menggigit jari. Justeru kuasa politk Melayu Islam yang dimaksudkan cukup-cukuplah berbalah sesama sendiri.

Cari jalan penyelesaian, usahakan perdamaian dan penyatuan sebagaimana dituntut agama. Kita tidak punya banyak masa, bermuafakatlah kerana dengan izin Allah jika terkawallah wabak ini dan negara keluar dari ancamannya, insya-Allah akan naik terbentuk sebuah Kerajaan Malaysia baru yang bakal dinanti-natikan semua.

 



Comments
Loading...