Pembangkang tolak Proklamasi Darurat, helah bela diri – Kaunselor


(Harakah) – Pihak pembangkang yang masih membuat bising dan tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai pihak-pihak yang menggunakan helah bela diri, kata seorang Kaunselor berdaftar, Mohamad Hasbullah Mustafa.

Menurut Hasbullah, tindakan mereka sebenarnya adalah untuk memujuk diri sendiri dengan kekecewaan yang sedang mereka alami akibat peralihan pentadbiran negara secara sah pada Mac tahun lepas.

Kata beliau, bela diri merupakan satu mekanisme tindakan yang dilakukan oleh seseorang bagi menguruskan konflik yang berlaku dalam diri.

“Sigmund Freud, seorang ahli psikologi yang mempelopori pendekatan psikoanalisis menjelaskan bahawa helah bela diri ialah usaha manusia mengaburi niat sebenarnya dalam bertingkahlaku supaya tindakannya merupakan sesuatu yang dapat diterima oleh dirinya sendiri dan masyarakat.

“Menurut Freud lagi, manusia bermasalah kerana sentiasa terdapatnya pertentangan antara motivasi mereka untuk memenuhi keperluan gerak hati dengan keperluan mengawal diri dalam realiti kehidupan.

“Mekanisme helah bela diri akan mengawal dan mengurangkan kebimbangan dengan memutarbelitkan realiti melalui pelbagai cara,” ujar beliau.

Hasbullah yang juga merupakan kaunselor di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Melaka itu menambah lagi, salah satu bentuk helah bela diri ialah rasionalisasi.

“Seseorang itu akan menggunakan rasionalisasi untuk memberikan alasan yang tidak benar tetapi munasabah kerana tujuannya untuk mengesahkan tindakan atau mempertahankan ego yang tercabar atau mengubati hati yang terluka.

“Sebagai contoh, seorang pelajar menggunakan helah ini dengan memberitahu ibu bapa bahawa punca mereka tidak lulus peperikasaan adalah kerana soalan susah atau pengajaran guru sukar difahami, walaupun sebenarnya mereka tidak membuat persedian yang mencukupi,” jelas beliau.

Menurut beliau, berdasarkan kefahaman inilah, mungkin boleh diandaikan bahawa tindakan memproklamasikan darurat ini sememangnya satu proses yang berdasarkan di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat berdasarkan situasi Covid-19 yang sedang melanda negara hari ni.

“Hakikatnya, dari sudut pemerintahan, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada. Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementerian dan negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19.

“Sekarang adalah masa untuk semua pihak memberikan kerjasama yang baik bagi membawa negara kembali pulih daripada ancaman Covid-19 yang kembali meruncing.

“Berpolitik secara matang dan bijaksana harus ditunjukkan kepada rakyat. Ini bukan masa untuk menjaga periuk nasi, kedudukan dan jawatan sesiapa,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, solusi terbaik terhadap permasalahan yang sedang dihadapi amat diperlukan agar kehidupan rakyat kembali harmoni, stabil dan terjamin.

“Politik tamakkan kuasa, meminta jawatan dan cakap tidak serupa bikin harus dihentikan segera,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, pagi tadi.

Hasbullah berkata demikian sebagai mengulas tentang tindakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan akan mencabar proklamasi darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan di mahkamah.

Kenyataan Anwar itu menyusul selepas tiga hari beliau mencadangkan agar semua Ahli Parlimen mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen meminta mereka memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membatalkan proklamasi darurat dalam kadar segera.

 



Comments
Loading...