Tindakan Anwar berlawanan aspirasi rakyat
(Harakah) – Tindakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibidas sebagai jelas terpisah dari realiti majoriti rakyat negara ini dalam menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai darurat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na’aman turut mendakwa Anwar seolah-olah tidak faham terhadap nasihat Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan mainan politik dan terus memberi fokus dalam membantu rakyat ketika negara dilanda wabak Covid-19.
“Keghairahan Anwar untuk terus mengasak nafsu politiknya itu bukan saja membuatkan dirinya dilihat pentingkan diri malah boleh mengeruhkan hubungan pihaknya dengan Istana Negara kerana dilihat ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong, malah mencabar pula kuasa baginda untuk mengisytiharkan darurat hingga boleh dianggap derhaka.
“Anwar harus tahu yang tergila-gila terpekik istilah demokrasi dan mahu sidang parlimen ketika waktu bencana hanyalah golongan binatang politik seperti pihaknya saja.
“Rakyat biasa lebih fokus hal kesihatan, peluang pekerjaan, bantuan kerajaan, pendidikan anak-anak serta kes-kes mahkamah melibatkan sekelompok manusia yang menandatangani SD menyokongnya jadi PM,” bidas beliau.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu, dilihat cuba mengkritik tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu darurat yang sedang dilaksanakan dalam negara ini, ketika sidang media menerusi siaran langsung di laman Facebooknya yang berlangsung semalam.
Bagaimanapun, dapat dilihat rata-rata masyarakat yang menyaksikan sidang media secara langsung itu turut sama menghentam tindakan Anwar yang dilihat seperti mencabar titah Yang di-Pertuan Agong serta turut meluahkan rasa muak dengan tindakan Anwar.