Sanusi akan kembalikan cuti Thaipusam bila Covid-19 reda, kata penyokong bukan Islam PAS


(FMT) – Kumpulan penyokong bukan Islam PAS meminta semua pihak berhenti menghangatkan isu pembatalan cuti peristiwa Thaipusam tahun ini oleh kerajaan Kedah.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) G Balachandran berkata, keputusan itu bersifat sementara dan cuti berkenaan akan diteruskan pada tahun akan datang sebaik saja wabak Covid-19 reda.

“Jangan kita politikan isu ini, tahun-tahun akan datang kalau keadaan pulih sediakala, maka saya percaya ia akan diisytiharkan semula cuti peristiwa di Kedah bagi menyambut Thaipusam.

“Malah DHPP sendiri akan memohon kepada kerajaan Kedah untuk menjadikan Thaipusam cuti umum bila Covid-19 sudah tiada,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyifatkan penganut Hindu menerima keputusan pembatalan cuti itu di saat negara dilanda wabak sebagai satu pengorbanan besar.

“Tahun ini penganut penganut Hindu membuat pengorbanan yang besar, semoga pengorbanan kita dalam kekecewaan dapat mewujudkan suatu keajaiban untuk masa depan lebih sejahtera untuk kita.

“Semua yang berlaku ada hikmahnya. Biar kita cari hikmah itu demi kebaikan kita semua, Tuhan akan bersama kita dalam pengorbanan ini,” kata pegawai khas menteri besar Terengganu itu.

DHPP turut mempertahankan tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan cuti Thaipusam sambil menolak ia bukan bermakna hak bukan Islam dinafikan sebaliknya mereka boleh meraikannya bersama keluarga di rumah.

“Menteri besar menjaga hak semua orang dalam menangguh cuti peristiwa selepas dibincang dalam mesyuarat Exco memandangkan keadaan genting disebabkan Covid-19.

“Semua pihak perlu akur dengan keadaan sekarang, menteri besar membuat sesuatu keputusan yang susah dalam keadaan yang susah. Menteri besar juga akan membuat keputusan sama sekiranya wabak ini masih bermaharajelela dalam perayaan agama dan kaum lain,” katanya.

Mengulas kenyataan Ketua DHPP, N Balasubramaniam sebelum ini mendesak Sanusi mengkaji semula keputusan membatalkan cuti itu, Balachandran berkata beliau merujuk kepada masa akan datang cuti berkenaan perlu dikembalikan selepas Covid-19 dapat dibendung.

“Kenyataan ketua DHPP juga dibuat agar bukan Islam tak salah faham mengenai PAS. Keputusan MB membuka minda kita supaya ‘dont take things for granted’,” katanya.

Sanusi diserang hebat susulan keputusan membatalkan cuti peristiwa Thaipusam di Kedah termasuk daripada pemimpin MIC dan DAP dengan menganggap ia tidak wajar dilaksanakan.

 



Comments
Loading...