Anwar tak faham atau tak boleh jawab soalan?


DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF, HARAKAH

Yang ditanya oleh moderator program ialah bila bilangan Ahli Parlimen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru nak cukup dan bagaimana caranya. Yang dijawab oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah ada 114, 115 Ahli Parlimen yang memohon YDPA untuk menimbang semula soal darurat dan memanggil sidang Parlimen.

114, 115 Ahli Parlimen ini, kalau betul, bukannya bilangan yang setuju untuk menyokong pembentukan sebuah kerajaan baru yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar Ibrahim bawalah sebanyak mana Ahli Parlimen untuk memohon sekalipun, bilangan ini bukannya ada sebarang impak ke atas pengisytiharan darurat oleh YDPA.

Sesatunya perkara yang diambil kira dalam pengisytiharan darurat ini adalah kepuasan hati YDPA bahawa keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam terancam. Dan mengikut Perlembagaan kepuasan hati YDPA ‘adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan’.

Soalnya ialah mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjawab soalan sebenar yang diajukan oleh moderator program: Apakah beliau tak faham atau tak boleh nak jawab soalan? Dan soalnya ialah mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim terus-terusan bukan sahaja mencabar dan mempersoalkan kuasa YDPA tetapi menghasut Ahli-ahli Parlimen lain berbuat demikian?

Soalan Dr Muhammad Asri Mohd Ali kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim:

“Baik, soalan real politik yang ingin diketahui oleh ramai orang sekarang ini, sebab pada bulan 10 yang lalu kita tahu Datuk Seri memang telah pun mengadap Agong dan polemik yang besar timbul dan Datuk Seri mengeluarkan kenyataan bahawasanya Datuk Seri telah ada kerusi. Persoalannya bila bilangan kerusi ini nak cukup, Datuk Seri, dan bagaimana caranya, adakah bekerjasama dengan parti tertentu? Boleh jelaskan, Datuk Seri?”

Jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada soalan Dr Muhammad Asri Mohd Ali :

“Itu soalan berupa sindiran. Kalau kita tengok yang mutakhir, memohon ihsan kebijaksanaan KDYMM Tuanku YDPA untuk menimbang semula melihat, pertama, soal darurat, kedua, memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera, itu sudah mencecah 114 115 Ahli Parlimen yang menolak usul Kerajaan PN Tan Sri Muhyiddin. Ini tidak boleh disangkal. Apakah jumlah itu cukup? Itu lebih daripada mencukupi kerana ini dalam ruang yang terbuka. Yang lain itu, sepertimana yang saya sebut, saya hanya mampu menyampaikan kepada dan akan kemudian mengusuli dengan YDPA dan tidak sebelumnya. Bagi saya, kalau tanya sekarang, jumlah mencukupi. Tetapi kena tunggu ihsan dan budi bicara Tuanku untuk mendapat maklumat berikutnya. Tetapi yang ternyata sekarang, tidak boleh disangkal, adalah jumlah setakat ini yang menolak pandangan PN, perkara besar ya, perkara darurat, perkara penggantungan Parlimen, perkara besar, ini ditolak oleh majoriti Ahli Parlimen. Dan sekarang untuk GPS Sarawak jugak sedang membincangkan, saya tidak tahu apa keputusannya tetapi ternyata kalau ini berlaku maknanya yang committed betul untuk mendukung darurat dan penggantungan Parlimen itu mungkin tak sampai 90 Ahli Parlimen ataupun jauh lebih kurang.”

(Sumber: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Bicara Negarawan anjuran Majlis Profesor Negara pada 23 Januari 2021)

 



Comments
Loading...