PKP, darurat melawan Covid-19 untuk keselamatan diri, negara, titah Agong
(Malaysia Now) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat yang dilaksanakan untuk melawan Covid-19 demi kepentingan dan keselamatan rakyat serta negara, titah Yang di-Pertuan Agong.
“Agong menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi PKP serta pelaksanaan proklamasi darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan petang ini.
“Memandangkan situasi wabak di negara ini berada di tahap kritikal, Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi strandard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan”.
Kenyataan itu berkata, Sultan Abdullah amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
“Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
“Sehubungan dengan itu, Agong menasihati rakyat menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian kekal terpelihara dan kekal berpanjangan”.
Dalam satu forum baru-baru ini pemimpin daripada Umno, DAP dan PKR dilihat sebulat suara mempersoalkan legitimasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan nasihatnya kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Dalam program yang disiarkan secara dalam talian itu, Kamal Amir, seorang veteran Umno yang pernah menjadi exco Pemuda pada 1980-an, Abdul Aziz Bari dari DAP dan Abdullah Sani dari PKR bertegas Parlimen mesti bersidang semasa darurat supaya Muhyiddin dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan sebagai perdana menteri.
Aziz adalah antara tiga Adun Pakatan Harapan (PH) yang memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Muhyiddin menasihatkan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Bagaimanapun pada Oktober lepas, pensyarah undang-undang yang menjadi ahli politik itu berkata, keputusan Agong adalah muktamad selepas Sultan Abdullah enggan menggunakan kuasanya untuk mengisytiharkan darurat ketika mula-mula dicadangkan.