Zahid merungut Presiden Umno tiada kuasa
(FMT) – Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan semula isu “kapasiti terhad” presiden Umno yang tiada kedudukan dalam kerajaaan persekutuan, mengatakan beliau cuma mampu meminta maaf sekiranya isu rakyat yang dibangkitkan tidak dilayan pihak berwajib.
Sebelum ini, berlatarkan perselisihan dengan PPBM, beberapa pemimpin mahu jawatan timbalan perdana menteri diberi kepada Umno, mengatakan pemimpinnya tidak diberi jawatan tertinggi dalam Jemaah Menteri walaupun parti berkenaan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan.
Dalam catatan di Facebook, dipercayai kepada ahli Umno, Zahid mengalu-alukan pandangan dan aduan daripada mereka, namun berharap mereka faham “saya tiada dalam sebarang kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan”.
“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapisiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua.
“Saya ingat, saya juga boleh bersuara melalui Parlimen tetapi apakan daya, persidangan tidak dibenarkan sekarang,” katanya.
Pada Nov lepas, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob berkata isu jawatan timbalan perdana menteri akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 selesai dibahas di Parlimen, mengatakan perkara itu tidak akan didiamkan.
Katanya, dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, calon untuk jawatan TPM akan mengutamakan lima pemimpin Umno teratas, bermula dengan presiden, yang juga Zahid, diikuti timbalan presiden dan tiga naib presidennya.
Sementara itu, Zahid berkata walaupun ada beberapa ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional dilantik sebagai menteri dan timbalan, beliau mengingatkan ia bukanlah “bersifat partisan”.