Wan Azizah PM Interim: Ini cerita karut – Mahathir


(Edisi 9) – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa beliau memberitahunya Yang di-Pertuan Agung mahukan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Perdana Menteri Interim sebagai karut.

Menurut Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu, Seri Paduka tidak pernah menyebut bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk dilantik menggantikannya selepas peletakan jawatan beliau.

Malah jelas beliau, Tommy tidak tahun menahu mengenai hasrat beliau untuk meletakkan jawatannya pada Februari 2019 lalu.

Berikutan kenyataan penuh Dr Mahathir berhubung isu-isu berkaitan dengannya yang ditulis Tommy menerusi bukunya, My Story: Justice in the Wilderness:

Saya terkejut membaca petikan dari buku Tommy Thomas My Story: Justice in the Wilderness. Tommy adalah salah seorang peguam yang benci saya. Tetapi sebelum saya menjadi Perdana Menteri semula, Tommy telah datang bersama Zainur Zakaria dan Ambiga, kedua-duanya juga pernah pada satu masa menentang saya dan Zainur telah cadangkan nama Tommy sebagai Peguam Negara.

Pada masa itu saya kecewa dengan sebilangan Peguam Negara Melayu yang bersedia untuk taat kepada Perdana Menteri (Najib) walaupun disuruh melakukan sesuatu yang salah. Saya fikir ia satu perkara yang baik untuk lantik Peguam Negara bukan Melayu.

Apabila saya jadi Perdana Menteri ke-7, saya putuskan untuk lantik Tommy Thomas. Saya sedar orang Melayu tidak akan suka. Tetapi Peguam Negara Melayu tidak bersungguh dalam profesion mereka. Saya sedia terima kritikan orang Melayu. Tetapi saya tidak dapat halang kecaman orang Melayu atas pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Secara umum saya berpuas hati dengan kerja Tommy. Dia jelaskan kepada saya bahawa tidak ada kes untuk dakwa yang dikatakan penyokong LTTE ini. Saya terima penjelasan itu dan menulis kepada Muhyiddin, Menteri Dalam Negeri. Tommy buang kes tersebut. Kemarahan orang Melayu kepada saya memuncak.

Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim (sementara). Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri Interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai Perdana Menteri Sementara.

Sebabnya saya letak jawatan ialah kerana parti saya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia menolak nasihat saya untuk tidak keluar dari Pakatan Harapan kerana pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kesemua ahli telah bersetuju untuk serah kepada budi bicara saya tarikh sesuai untuk letak jawatan. Jelas mereka tidak hendak saya letak jawatan dan beri laluan kepada Anwar. Anwar dan Wan Azizah hadir dalam mesyuarat itu.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, pada hari Ahad rayuan saya untuk diberi masa sebelum buat keputusan keluar dari PH ditolak. Saya tahu apabila Bersatu bersama kumpulan PKR Azmin keluar dari PH, Kerajaan PH akan jatuh kerana hilang majoriti.

Walaupun saya merayu untuk diberi masa seminggu untuk buat keputusan, malam itu Bersatu, kumpulan Azmin dari PKR, UMNO dan PAS hadir makan malam di Sheraton Petaling Jaya. Saya enggan hadir, kerana saya tidak dimaklum apa-apa sebelum itu. Jelas sekali Bersatu, dipimpin Muhyiddin bersetuju bentuk pakatan bersama UMNO, PAS termasuk kumpulan Azmin. PH tidak lagi jadi Kerajaan. Mereka tidak boleh tunggu seminggu untuk saya buat keputusan.

Saya terfikir tentang penolakan nasihat saya oleh MPT Bersatu dan penyertaan Bersatu di Sheraton. Nyata bahawa saya telah hilang keyakinan dari Bersatu dan oleh sebab itu saya harus letak jawatan sebagai Pengerusi parti. Jika saya letak jawatan sebagai Pengerusi, saya juga tidak lagi mewakili Parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...