Anwar Ibrahim masih pilihan DAP sebagai calon PM – Lim Guan Eng
(Astro Awani) – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan utama DAP sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika program bual bicara secara maya Midan Profesor Negara bertajuk “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?” anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).
Menurut Guan Eng, sekiranya ada cadangan untuk menukar calon Perdana Menteri dari PH, pekara itu mestilah dilakukan menerusi perbincangan Majlis Presiden PH.
“Buat masa ini masih lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kerana ini berpandukan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan.
“Sekiranya ada apa-apa perubahan calon Perdana Menteri, ia mesti melalui keputusan Pakatan Harapan,” katanya.
Mengulas cadangan melantik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri pula, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, ia merupakan sebahagian pilihan yang ada.
Katanya, DAP melihat pilihan-pilihan yang sedia ada iaitu Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketika usaha mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional.
“Kita (DAP) melihat pilihan-pilihan sedia ada, iaitu selain daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pilihan lain ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tetapi terdapat pilihan lain iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itulah pilihan yang ada ketika itu, tetapi Pakatan Harapan kita sokong Datuk Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
“Namun, ini tidak menolak kewibawaan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai seorang pemimpin berstatus pemimpin negara, jangan kita tolak hanya kerana dia datang dari Sabah.
“Itulah konsep integrasi nasional, jangan kita tolak seseorang pemimpin hanya kerana beliau dari Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.
Tahun lepas, Guan Eng telah mencadangkan nama Shafie sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan Plus dalam usaha mereka untuk mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional.
Namun cadangan itu ditolak oleh Majlis Presiden PH yang bertegas mahukan Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan tersebut.