Malang Dr. M masih tidak mahu pikul kesalahan letak jawatan PM
(Suara Merdeka) – Buat pertama kali veteran DAP Lim Kit Siang secara berterus terang menyatakan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tahun lalu sehingga Kerajaan Pakatan Harapan tumbang merupakan satu keputusan yang salah.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, lebih malang sehingga kini Dr. Mahathir tidak mahu memikul tanggungjawab atas kesalahan yang dia telah lakukan.
Pada ketika Dr. Mahathir meletakkan jawatan, Ahli Parlimen Langkawi itu masih mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk terus menjadi perdana menteri.
“Memang malang bahawa Mahathir masih enggan memikul tanggungjawab atas kesalahan besarnya ketika mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri ketika dia mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, dari anggota parlimen Pakatan Harapan, Warisan dan bahkan Bersatu,” kata Kit Siang.
Kit Siang membuat kenyataan tersebut selepas terkejut namanya disebut dalam tulisan Dr. Mahathir semalam.