Tommy Thomas terikat ‘kisah silam’, Mahathir kesal pilih beliau sebagai peguam negara


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kesal melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara setelah menyedari beliau masih terikat ‘kisah silam’ tertentu.

(FMT) – “Kalaulah saya tahu ini akan berlaku, sudah tentu saya akan pilih orang lain. Tetapi, pada masa itu, saya fikir seorang peguam negara yang profesional akan beri sesuatu yang baharu,” kata Mahathir dalam wawancara khas dengan FMT.

“Saya tak sedar yang dia ada ‘kisah silam’, yang nampaknya masih mempengaruhinya,” kata Mahathir, yang tahu Thomas bukanlah penyokongnya semasa beliau dilantik menjadi perdana menteri keempat pada tahun 2018.

Mahathir mengulas beberapa kritikan langsung oleh Thomas terhadap beliau dalam memoirnya, “My Story: Justice in the Wildernes”.

Ia termasuk tindakan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri tetapi masih mahu memegang jawatan itu secara sementara.

Thomas juga menyifatkan tindakan Mahathir meletak jawatan sebagai sesuatu yang tidak boleh dipertahankan kerana membelakangkan mandat pengundi PRU14.

Mahathir berkata Thomas sebelum ini mengecamnya atas penyingkiran bekas presiden Mahkamah Agung, Salleh Abas, namun masih memutuskan untuk melantik beliau sebagai peguam negara bukan Melayu pertama sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau juga sudah menjangkakan masyarakat Melayu tidak akan menyukai pelantikan Thomas, namun merasakan perlu melantik seorang bukan Melayu kerana peguam negara terdahulu tidak profesional.

“Mereka (peguam negara Melayu) ada buat keputusan yang tidak betul. Contohnya, Najib Razak dikatakan tak buat salah, tapi hari ini kita tahu yang dia didapati bersalah.

“Jadi, tidak betul bila peguam negara (ketika itu) kata dia tak bersalah dan dengan demikian kes tidak dibawa ke mahkamah.

Pada Januari 2016, peguam negara ketika itu, Apandi Ali, membersihkan Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam kes SRC International, dan mengumumkan Najib, yang ketika itu perdana menteri, tidak akan dituduh.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang berhubung RM42 juta milik syarikat bekas unit 1MDB itu.

“Saya fikir Thomas akan menjadi seorang peguam negara yang bagus dan profesional, yang akan melaksanakan kewajipannya mengikut undang-undang, bukan kerana dia akan buat apa yang saya suruh,” kata Mahathir.

Mahathir sebelum ini berkata Thomas mengambil keputusan untuk meletak jawatan dengan sukarela, sejurus selepas beliau berundur sebagai perdana menteri Feb lalu.



Comments
Loading...