Abdul Hadi sudah boleh bercakap dan bergurau pagi ini


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi ini dikatakan semakin baik dan sudah boleh bercakap selepas dimasukkan ke hospital malam tadi akibat sesak nafas.

(Malaysia Dateline) – Setiausaha Politiknya Syahir Sulaiman berkata, Abdul Hadi juga memberitahu akan memaklumkan situasinya dari semasa ke semasa.

“Sekitar 7.30 pagi tadi saya terima panggilan daripada Tuan Guru (Abdul Hadi), mohon maklumkan kepada semua, beliau sudah semakin baik, sudah boleh bercakap dan bergurau,” lapor Astro Awani.

Terdahulu, khabar awal kemasukan Abdul Hadi ke hospital dimaklumkan pemimpin-pemimpin Umno di media sosial masing-masing tengah malam tadi.

Dalam pada itu, Syahir memberitahu Ahli Parlimen Marang berkenaan sejak seminggu ini menghadiri beberapa mesyuarat penting.

“Dalam seminggu ini memang ada beberapa mesyuarat penting, cuma banyak masa beliau di Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Tidak ada petanda awal tentang kesihatan Tuan Guru. Cuma sekitar Maghrib (semalam), Tuan Guru mengadu agak sukar untuk bernafas.

“Kami bincang terus ke kecemasan untuk buat pemeriksaaan. Tuan Guru mahu ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Hospital Putrajaya,” kata Syahir.

Menurutnya, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu pernah menerima rawatan dan pembedahan injap di IJN pada 2017.

“Kita ada jadual janji temu dari pihak IJN. Tuan guru sentiasa jaga makan dan ikut nasihat doktor.

“Kita akan maklumkan apa perkembangan terkini, cuma atas nasihat doktor, kita harap tuan guru dapat ruang untuk berehat, pelawat juga harus dihadkan,” tambah Syahir lagi.

Abdul Hadi yang bakal berusia 74 tahun pada 20 Oktober ini juga pernah dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Terengganu selepas mengadu kepenatan pada 18 November 2016.

 



Comments
Loading...