Tun M boleh sertai semula UMNO tapi jangan ada syarat – Najib


(Malaysia Gazette) – Mana-mana individu yang telah keluar UMNO boleh diterima semula UMNO tetapi tidak boleh mengenakan sebarang syarat termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Sesiapa boleh mohon untuk balik (semula) kepada UMNO… Tetapi orang macam saya, kami ini semua, kita setia dalam UMNO, tidak pernah keluar daripada UMNO.

“Mereka yang keluar daripada UMNO, hendak kembali kepada UMNO, boleh dipertimbangkan.

“Namun, mereka tidak boleh kenakan syarat, dia kena terima. Dia mahu masuk UMNO, terimalah dasar UMNO, terimalah sesiapa yang ada dalam UMNO.

“UMNO adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau Presiden parti sekalipun, ataupun bekas presiden parti, tidak! UMNO adalah milik tiga juta ahlinya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Mahathir sebelum ini meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti yang pernah dipimpinnya itu.

Bagaimanapun beliau tidak mahu bekerjasama dengan ‘penyangak-penyangak’ di dalam UMNO, katanya pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini.

 



Comments
Loading...