Tindakan UMNO boleh menyebabkan Melayu hilang kuasa
(Suara Merdeka) – TINDAKAN UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata mahu bertanding di semua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh menyebabkan orang Melayu akan kehilangan kuasa.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan UMNO itu sudah tentu akan mewujudkan pertembungan tiga penjuru yang akan menyebabkan undi orang Melayu pecah.
Katanya, adalah lebih baik mereka bersama-sama dalam gabungan dan mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, yang penting adalah mewujudkan persefahaman dan agenda perpaduan sesama parti di dalam gabungan.
“Agenda perpaduan perlu diteruskan dan amat penting untuk kita mengekalkannya. Saya berharap apa jua perbezaan pandangan selesaikan di meja rundingan supaya dalam PRU-15 kita dapat duduk dalam satu platform, bendera atau tiket yang sama.
“Jika tidak boleh bersama sekali pun (di dalam PN), paling tidak ada rundingan supaya tidak berlaku pertembungan tiga penjuru (dalam PRU-15). Seboleh-bolehnya yang bertanding nanti satu bendera, satu logo sahaja dan kalau semua boleh bersama di dalam PN itu adalah yang terbaik.
“Kalau lihat sekarang dalam mana-mana kajian, kalau berlaku tiga penjuru akan menyebabkan kita atau dua-dua kalah dan yang akan menang musuh politik kita Pakatan Harapan (PH). Di peringkat PN, kita jelas tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sembang santai secara langsung di Facebook bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim di Arau malam tadi.