Puad ajak Muhyiddin berdebat sebelum jumpa di mahkamah
(Malaysiakini) – Berdepan dengan tuntutan saman daripada Muhyiddin Yassin, anggota Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mempelawa perdana menteri itu untuk berdebat dengannya.
Jemputan Puad hadir menjelang peguamnya menjawab surat tuntutan saman RM10 juta daripada Muhyiddin dalam isu hantaran media sosial dibuat bekas ahli parlimen Batu Pahat itu.
“Sudikah Muhyiddin berdebat?” tanya Puad.
Menurut bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata ‘pusingan pertama’ dalam pertembungan dia dan Muhyiddin selesai dengan siapnya jawapan daripada pihak peguam berkenaan.
“Alhamdulillah lega. Selesai pusingan pertama. Maklumlah memang tidak biasa main peguam kerana tidak pernah disaman. Apa lagi saman oleh individu yang bertaraf perdana menteri,” katanya.
Puad memang selalu bersikap kritikal dan sinis terhadap Muhyiddin termasuk semasa bekas timbalan presiden Umno itu baru pulang dari lawatan rasmi di Jakarta Indonesia.
Komen itulah yang mendorong Muhyiddin menghantar surat tuntutan kepada Puad meminta dia mengemukakan permohonan maaf dan pampasan RM10 juta.
“Rupanya dalam bab saman tidak timbul isu ‘antara dua darjat’. Satu hari nanti tidak mustahil akan ada nelayan, penoreh atau pemandu Grab yang akan disaman oleh perdana menter.
“Kalau begitu tidak salah saya berdebat dengan Muhyiddin sebelum berjumpa di mahkamah,” katanya.
Tambah Puad lagi, dengan adanya saman berkenaan ketika ini tiada sesiapa yang boleh mendakwa dia tidak setaraf dengan Muhyiddin untuk berdebat.
“Kalau saman boleh, kenapa debat tidak boleh? Semoga Sinar (Harian), Astro atau RTM boleh jadi hos,” katanya.
Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Puad berhubung hantarannya itu jika dia gagal memohon maaf secara terbuka.
Puad sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan pegawainya enggan menjalankan kuarantin ketika tiba ke tanah air dari Indonesia.
Dia turut mempersoalkan adakah keengganan Muhyiddin dan pegawainya menjalani kuarantin selama 10 hari menyebabkan Menteri Kesihatan Adham Baba mengeluarkan arahan baru melalui Warta Persekutuan untuk menetapkan bahawa kuarantin menteri yang keluar negara hanya memerlukan tiga hari.
Mengulas lanjut mengenai jemputan debat tersebut, Puad berkata tujuan dia bukan untuk mencari salah sesiapa.
“Debat bukan kerana ego. Bukan untuk cari siapa yang salah, tetapi cari apa yang salah,” katanya.