Politik perdamaian janjikan kemenangan besar


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY

SELAIN terbelenggu dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19, perhatian rakyat dan seluruh negara pada hari ini adalah terhadap tiga parti besar yang menjadi teraju di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan iaitu Umno, BERSATU dan PAS. Kekuatan Kerajaan PN terletak pada kemampuan ketiga parti ini menjalin persefahaman dan kerjasama.

Kiranya atas apa sebab sekalipun mereka gagal, terus berbalah dan bersengketa, akibatnya apa yang dikatakan sebagai ‘consolidation of Malay political power’ atau kesatuan kuasa politik Melayu itu akan gagal dan akhirnya sebagaimana Kerajaan PH yang cuma bertahan 22 bulan, mereka juga akan kecundang dan lebih malang lagi kuasa akan kembali ke tangan PH yang didominasi DAP.

Sesungguhnya asas penyatuan itu jelas. Jika masing-masing parti merujuk kepada perpaduan berteraskan Islam yang menuntut kita meneroka politik penyatuan, politik yang mendamai dan mengharmonikan ummah, pasti kita sekali-kali tidak akan terjerumus ke kancah perbalahan sesama sendiri. Tetapi apabila agenda peribadi diutamakan, pengaruh dan kuasa kelompok menjadi matlamat, penyatuan ummah akan gagal dan tidak mustahil nikmat penyatuan kurnia Allah S.W.T itu akan ditarik kembali dari tangan kita.

Jika kita boleh mengenepikan perbezaan, bersepakat dan bersetuju membentuk Kerajaan PN ini dahulu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan wakil kita masing-masing masuk dalam Kabinet dan kerajaan, mengapa hari ini kita perlu berbeza?

Rasulullah S.A.W mendidik kita, umatnya, bahawa Islam mesti punya kuasa politik yang utuh. Kuasa itu terbentuk melalui penyatuan, dan penyatuan mesti diusahakan bersama yang sudah pasti melibatkan tolak-ansur dan kesediaan berjiwa besar sebab matlamat utama yang lebih besar adalah memartabatkan agama yang dicintai.

Kuasa itu apabila terbentuk ialah yang akan memimpin ummah dan seluruh masyarakat berbilang agama dan bangsa dengan memberikan keamanan dan keadilan buat semua. Memang hakikatnya ketiga-tiga parti banyak perbezaan. Jika kita masing-masing mahu mencungkil dan membongkar perbezaan sesama kita, mengungkit dan membangkit kisah lama, maka yang akan terkambus adalah banyaknya persamaan yang kita ada khasnya yang paling besar iaitu kesamaan dan kesatuan aqidah.

Bangkit dan suburkanlah persamaan yang sewajarnya meneguhkan lagi ikatan kita dan berusahalah melontar jauh apa sahaja perbezaan yang hanya akan merugikan dan membawa kegagalan. Di luar sana, umat Melayu tidak berminat melihat kita bersengketa malah mereka telah pelajari dengan seribu sesalan apabila berpecah politik orang Melayu khususnya pada PRU lalu, yang naik menjulang adalah kuasa politik bukan-Melayu yang mencabar serba-serbi status quo yang ada.

Hari ini mereka meletakkan pengharapan tinggi pada kita untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. Mereka bukan mahu lihat Umno, BERSATU dan PAS yang bersengketa, tetapi yang bersatu dan berpadu.

Akuilah dengan kematangan politik umat Melayu hari ini, mereka akan mendesak dan menuntut dari kita politik permuafakatan dan kerjasama. Berjalan sendiri-sendiri, masing-masing merasakan diri sudah kuat dan boleh bersendirian tanpa bantuan kawan-kawan hanya akan mengundang ketidakyakinan malah ketidakpuasan hati orang-orang Melayu iaitu penyokong teras kita.

Mereka juga boleh marah dan kecewa. Mengapa sukar sangat pemimpin-pemimpin Melayu ini mahu bersatu dan berpadu? Apabila ini mula dipersoalkan tidak mustahil mereka akan beralih-arah dan sebaliknya menyokong pihak musuh. Oleh itu janganlah kita seronok atau terpesona dengan juak-juak yang tidak memahami dan menginsafi asas kekuatan politik perpaduan ini.

Memang membina permuafakatan politik ummah ini bukan suatu tugas yang mudah, tetapi ia pernah dibuktikan menjadi realiti di zaman Rasulullah S.A.W. Pemimpin-pemimpin ketiga parti di pelbagai peringkat perlulah membuka jalan menghidupkan bibit penyatuan dan bukannya galak membakar api persengketaan.

Di Selangor baru-baru ini sesuatu yang luar biasa tercetus apabila Pengerusi ketiga-tiga parti peringkat negeri boleh duduk bermuafakat bersama, Tan Sri Noh Omar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Datuk Abd Rashid Asari, telah mempamerkan satu contoh yang sangat terpuji dan wajar diikuti di negeri-negeri lain termasuklah di peringkat akar-umbi.

Kita tidak punya banyak masa, mengapa perbalahan yang perlu diutamakan sedangkan ruang untuk bermuafakat dan berkerjasama itu terbentang luas. Di Sabah pun khabarnya masing-masing parti telah berikrar mempertahankan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah atau GRS yang dianggotai pelbagai parti termasuklah Umno-BN, BERSATU, PBS, STAR, SAPP dan PAS. Pasti gentar dan gelabah musuh-musuh apabila ketiga-tiga parti di negeri dan bahagian Parlimen lain dapat mencontohi keterbukaan dan pandangan jauh pimpinan Selangor dan Sabah itu.

Inilah cabaran besar buat kita hari ini. Umno dan BERSATU berdamailah, PAS pula bertindaklah sebagai pendamai dan Musleh ataupun penyeru kepada kebaikan. Duduklah bersama berbincang dan melakarkan gagasan kemenangan ummah dengan matang dan rasional. Tidak mustahil kiranya kita boleh merintis jalan sebagaimana Selangor dan Sabah, bersama kita nanti dapat melahirkan dan mengarahkan pula jentera pilihan raya yang efektif, kukuh dan padu menghadapi cabaran.

Sebagaimana sering ditegaskan Presiden PAS, kita bukan sekadar mahu menang majoriti mudah seperti hari ini yang boleh sahaja tercabar dan dicabar bila-bila masa, tetapi dengan kekuatan ini kita mahu mencipta kemenangan yang lebih meyakinkan iaitu dengan majoriti 2/3 agar banyak perkara-perkara terdesak dapat kita laksanakan demi membentuk sebuah negara yang makmur, sejahtera dan adil.

Di tahap ini bukan pimpinan peringkat tertinggi sahaja yang perlu menjalin hubungan dan ukhuwah yang meyakinkan sehingga dilihat dan mempersonakan rakyat, tetapi pimpinan tertinggi negeri-negeri dan akar-umbi juga perlu segera menyemarakkan ukhuwah tiga parti ini. Semoga inisiatif Selangor dan Sabah tidak berlalu sia-sia tetapi turut disambut dan dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Akhirnya kita mahu melihat pengurusan parti yang cemerlang, pembahagian kerusi yang saksama dan calon-calon yang penuh kewibawaan ditampilkan. Tidak kiralah apa platform nya, PN atau PN Plus asalkan kita bertarung satu lawan satu menentang PH, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Selamat berdamai dan memenangi hati rakyat.

 



Comments
Loading...