Umno perlu pastikan tiada lagi perpecahan – Ismail Sabri
(Malaysiakini) – Naib Presiden Umno, Ismail Sabri meminta agar ahli parti itu terus memperkukuhkan Umno dan mengelakkan perpecahan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail menegaskan pentingnya penyatuan orang Melayu dalam menghadapi politik yang disifatkannya semakin mencabar.
“Ingin saya tekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar.
“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 sudah tidak lama.
“Umno harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan yang terjadi kerana perpecahan akan membuatkan bangsa Melayu itu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah PH (Pakatan Harapan) berulang,” katanya.
Kenyataan Ismail itu dibuat ketika pergolakan dalaman Umno dikatakan semakin meruncing.
Malaysiakini semalam melaporkan antara langkah yang diambil dalam perseteruan dalaman itu ialah kempen propaganda bertulis yang disasarkan khusus terhadap presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno.
Sumber kem ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata, naskhah yang menyerang bekas timbalan perdana menteri itu adalah hasil tangan pihak yang cenderung bekerjasama dengan PN.
PN merupakan gabungan beberapa parti yang diketuai bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin.
Ahli parlimen Pagoh itu kini mengetuai Bersatu dan dilantik menjadi perdana menteri selepas kerajaan PH dijatuhkan tahun lalu.
Ismail sendiri adalah salah seorang daripada menteri kanan dalam kabinet yang dipilih oleh Muhyiddin.
Menurut sumber, “kluster menteri” mahu Umno meneruskan kerjasama dengan Bersatu bagi membolehkan kedudukan mereka dalam kerajaan dikekalkan.
Bagaimanapun, kata sumber berkenaan, sentimen tersebut tidak dipersetujui ahli akar umbi.
Usul agar kerjasama Umno dengan Bersatu ditamatkan dibuat lebih 100 bahagian sebelum ini dan diterima oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Ia dilaporkan akan diputuskan dalam perhimpunan agung Umno yang dijadual pada Mac ini.
‘Tak salah Umno akui kesilapan’
Menurut Ismail, sepanjang sepanjang BN dan Umno menjadi kerajaan, terbukti negara ini ditadbir dengan baik dan sikap saling hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara.
“Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya Umno yang menjadi kompenan dalam BN kembali menjadi tunjang negara,” jelasnya.
Dia juga mengingatkan agar Umno belajar daripada kesilapan yang menyebabkan parti itu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum lalu.
“Dalam mencari kepercayaan rakyat, Umno juga perlu belajar daripada kesilapan di mana kita tersilap membuat percaturan sehingga akhirnya tersungkur pada PRU-14 yang lalu.
“Tidak salah untuk kita akui kesilapan dan belajarlah daripada kesilapan ini agar kita dapat membina kembali keutuhan parti.
“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh,” katanya.