Umat Melayu sudah bersedia melakar perubahan
(Harakah) – MENGAMBIL kira situasi politik semasa saya merasakan pandangan Raja Petra ini adalah yang paling tepat mewakili hasrat dan kehendak sebenar akar umbi umat Melayu Islam. Tatkala 22 bulan pemerintahan PH umat Melayulah yang paling vokal menentang apabila melihatkan PH memungkiri janji-janji pilihan rayanya selain terikat dengan tuntutan dan kehendak politik DAP yang mendominasi kerajaan ketika itu.
Api kemarahan umat Melayu ini dapat dilihat dengan kemenangan calon BN di PRK Cameron Highlands. Ianya bukan kemenangan mutlak Umno tetapi ia kombinasi kekuatan politik PAS dan Umno yang berjaya membangkitkan kemarahan tadi diterjemahkan dalam bentuk undi menolak PH.
DAP kecundang di Cameron diikuti BERSATU (yang ketika itu bersama PH) di Semenyih dan PKR di Rantau. Kekalahan siri-siri PRK ini dan beberapa yang lain berturut-turut menandakan umat Melayu telah bersedia mengkuburkan PH dengan kekuatan baru mereka melalui MN.
Ditakdirkan Tuhan, PH yang malang itu jatuh roboh apabila PM nya letak jawatan lantas terbentuklah kerajaan baru BERSATU (yang meninggalkan PH), Umno-BN dan PAS selain parti-parti rakan dari Borneo.
Kini masing-masing bersedia menghadapi PRU15. Umat Melayu mengharapkan jalinan ketiga parti ini akan bangkit menawarkan masa depan baru melalui politik permuafakatan umat Melayu Islam.
Jangan khianat dan persiakan harapan mereka. Kekuatan ini luar biasa dan ia bakal menggegarkan tanah air dengan syarat terjalin permuafakatan yang kukuh.
BERSATU, Umno atau PAS tidak penting di peringkat ini buat mereka, yang penting adalah nasib dan masa depan ummah yang terjamin dan terbela. Sama ada kita menyahut tuntutan kemahuan mereka atau bersedia menerima hukuman mereka.