Umno tetap tidak bersama Bersatu, jika bersama akan luput
Umno tetap dengan pendirian tidak akan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) khasnya Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Dr Mohd Puad Zarkashi, lapor The Malaysian Insight.
(Malaysia Dateline) – Ini kerana, Umno akan luput jika terus bersama dengan PN akibat dari tindakan tikam belakang dan tidak ada kesetiaan dalam politik.
“Umno tak akan jadi parti luput. Umno akan luput kalau terus bersama PN yang tidak ada kejujuran politik dan tikam belakang, maksudnya kalau kita biarkan diri kita ditikam belakang, itu namanya pondan politik,” katanya.
Katanya, Umno tidak akan bekerjasama dengan PN bukan rahsia lagi selepas 118 daripada 190 bahagian Umno dalam mesyuarat mereka pada awal Januari meluluskan usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.
Sebelum itu, 147 ketua bahagian Umno dalam satu kaji selidik dalaman Umno menyatakan pendirian yang sama.
“Pada saya ia jadi rahsia terbuka. Bila ada keputusan 118 dari 147 (bahagian meluluskan usul tolak Bersatu) maksudnya putus hubungan.
“Patutnya Muhyiddin Yassin faham-fahamlah bahawa sebenarnya sudah ada keputusan. Pada saya pendirian Umno sudah jelas,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
Puad berkata antara perkara yang menyebabkan Umno kecewa dengan Bersatu ialah apabila ketua kampung yang dilantik oleh PN tidak mahu memberikan kerjasama dengan pemimpin Umno di akar umbi.
Menurut Puad, Umno tidak semestinya bersendirian dalam pilihan raya akan datang sekiranya ia tidak bersama dengan Bersatu dan PN.