Giliran bekas pengerusi Amanah Pahang ‘keluar parti’
(Malaysiakini) – Parti Amanah sekali lagi menerima kejutan apabila seorang penggeraknya dilaporkan menyertai parti lain hari ini.
Kali ini bekas pengerusi Amanah Pahang Hamzah Jaafar diumum sebagai ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi negeri itu.
Senarai ketua Pejuang negeri-negeri berkenaan dikeluarkan setiausaha agung penaja Pejuang, Marzuki Yahya.
Hamzah ialah bekas calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi DUN Dong pilihan raya umum lalu dan dilantik menjadi pengerusi Amanah negeri sehingga 2019.
Dalam pemilihan Amanah pada tahun tersebut Hamzah gagal mendapat undi mencukupi sebagai sebahagian daripada pimpinan Pahang.
Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberitahu Malaysiakini Hamzah ada memberitahu dia ditawarkan untuk menyertai PKR dan Pejuang sebelum ini.
Bagaimanapun kata Khalid, Hamzah belum lagi membuat keputusan mengenainya.
“Kalau Pejuang belum daftar (sebagai parti), maka membantu Pejuang tiada masalah. Dia bukan jadi ahli,” katanya.
Anwar atau Mahathir
Sementara itu sumber Amanah mendakwa sebelum ini Hamzah memang disebut-sebut mahu bertukar parti dan ia kedengaran sejak tahun lalu lagi.
“Asalnya dia seperti mahu menyerai PKR, tapi selepas berjumpa Dr Mahathir (Mohamad) dia memilih Pejuang,” katanya.
Pejuang merupakan parti serpihan Bersatu yang diterajui Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin parti berkenaan.
Semalam, tiga Adun Amanah dari Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) menyertai PKR.
Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut mengambil langkah serupa.
Untuk rekod, sebelum ini dilaporkan Amanah berdepan dengan konflik dalaman dipercayai berhubung isu hala tuju parti sama ada untuk cenderung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim atau Mahathir.
Ia antaranya dikaitkan dengan pertemuan Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada 29 Oktober lalu yang dikatakan membincangkan isu “kerajaan perpaduan”.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Pejuang hari ini, selain Pahang turut mendapat ketua ialah Johor yang diketuai Ahli Parlimen Shahruddin Md Salleh, Selangor (Harumaini Omar), Kedah (Azimi Daim), Perak (Miro Nor Haidir Suhaimi), Kelantan (Sazmi Miah), Negeri Sembilan (Mohammad Jani Ismail), Pulau Pinang (Ahmad Shahreazal Abd Rashid) dan Melaka (Ruslin Hasan).
Menurut Pejuang, ketua parti itu untuk Perlis, Wilayah Persekutuan dan Terengganu pula akan diumumkan kemudian.