Dana 1MDB: Lim desak Zeti, Bank Negara dan SPRM beri penjelasan


(Malaysiakini) – Seorang ahli parlimen DAP hari ini membangkitkan semula isu 1MDB selepas bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia itu.

Merujuk pada laporan media berhubung isu tersebut, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata selepas 48 jam berlalu langsung tiada sebarang kenyataan dibuat oleh pihak berkuasa.

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai polis Singapura memberitahu Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho, kepada syarikat didakwa dimiliki oleh suami dan anak lelaki Zeti pada 2015.

Untuk rekod pada tahun berkenaan Zeti merupakan gabenor di Bank Negara.

Menurut Lim, tiga pihak wajib menjelaskan kedudukan masing-masing berhubung dakwaan terbaru berkenaan.

“Oleh kerana perkara itu melibatkan reputasi bank pusat, gabenor Bank Negara sekarang, Nor Shamsiah Mohd Yunus, perlu menafikan dakwaan tersebut dan mengumumkan tindakan yang boleh diambil ke atas laporan berkenaan.

“Kedua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mendedahkan sekiranya ada siasatan yang dijalankan terhadap dakwaan tersebut dan apakah dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Ketiga, Zeti sendiri harus mendedahkan apakah tindakan undang-undang yang dia atau keluarganya sudah lakukan atau akan lakukan terhadap tuduhan itu,” tambah Lim.

Dakwaan terhadap suami dan dua anak lelaki Zeti berkaitan dana 1MDB mula muncul pada Dis tahun lalu. Antara dakwaan yang timbul ialah sebahagian dana yang diterima Iron Rhapsody kemudiannya dipindahkan kepada Cutting Edge Industries Ltd yang turut memiliki akaun di Bank UBS Singapura.

Pada Dis 2020 juga dilaporkan suami Zeti dan dua anak mereka mengaku tahu ada menerima wang dari dana 1MDB.

Pengakuan itu terkandung dalam perakuan bersumpah (SD) ditandatangani pada Mac 2019. Wang tersebut berada dalam akaun Cutting Edge Industries di Singapura dan ketiga-tiga mereka mengaku pemilik kepada akaun tersebut.

SD berkenaan, lapor FMT, disahkan sebagai asli oleh peguam.

Sebelum ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa Zeti – kini pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) – agar menjawab dakwaan tersebut selepas ia dibangkitkan bloger kontroversi Raja Petra Kamaruddin.

Bagaimanapun, Zeti menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “palsu dan berniat jahat.”

Zeti kemudian menjelaskan bahawa dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberikan maklumat yang diperlukan oleh pihak polis dan SPRM.

Katanya, dia tidak dapat membuat kenyataan lanjut kerana berpotensi dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan membabitkan Najib yang sedang berlangsung di mahkamah.

“Oleh itu, pada pandangan saya ia akan mengganggu perbicaraan yang sedang berlangsung dan berpotensi menjadi subjudis bagi saya untuk membuat kenyataan pada masa ini,” katanya.



Comments
Loading...