Muhyiddin dapat injunksi ‘diamkan’ Puad


(FMT) – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperoleh injunksi interim untuk menghalang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi daripada mengeluarkan kenyataan berhubung hantaran dianggap fitnah di Facebooknya, bulan lalu.

Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan berkata perintah injunksi itu dikeluarkan petang tadi susulan permohonan segera di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firus Jaffril.

“Hakim membenarkan perintah interim sehingga penyelesaian prosiding inter parte,” katanya kepada FMT dalam satu pesanan ringkas.

Terdahulu, hari ini, Muhyiddin memfailkan saman fitnah terhadap Puad selain memohon sijil perakuan segera untuk perintah injunksi interim itu.

Menurut peguam, injunksi interim itu akan berkuat kuasa sehingga berjaya diketepikan Puad atau peguamnya.

Pada 16 Feb, Muhyiddin menghantar notis undang-undang kepada Puad Zarkashi menuntut permohonan maaf umum dan pampasan RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya.

Beliau juga, antara lain, menuntut Puad menurunkan hantarannya pada 9 Feb lalu berhubung kuarantin dari laman Facebooknya yang menggunakan nama “Dr Mohd Puad Zarkashi”.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Puad bahawa perintah kuarantin tiga hari yang diwartakan untuk menteri yang pulang dari perjalanan ke luar negara adalah semata-mata disebabkan perdana menteri tidak mahu dikuarantin selepas pulang dari lawatan rasminya ke Indonesia.

Dalam kenyataan itu, PMO berkata, Muhyiddin sudah diberikan arahan pemantauan di rumah dan gelang untuk dipakai sebaik tiba dari Jakarta pada 5 Feb, malah menjalani kuarantin di rumah.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan hari ini, Muhyiddin berkata kata-kata dipertikaikan itu mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak berasas dan jahat, bertujuan memfitnahnya.

Setiap kata dalam hantaran atau kenyataan itu membawa maksud beliau (Muhyiddin) dan kumpulannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari sebaik pulang dari Jakarta.

Katanya, kenyataan itu seolah-olah bermaksud menteri kesihatan mengeluarkan perintah baru menerusi warta persekutuan bahawa menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara hanya perlu menjalani kuarantin tiga hari, seterusnya mengatasi arahan ketua pengarah kesihatan.

Menurutnya, kenyataan Puad itu membayangkan Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya untuk mengatasi ketua pengarah, selain menteri seperti mendapat layanan istimewa.

Ia turut memberi gambaran Muhyiddin tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang, mementingkan diri sendiri dan tidak layak menjadi perdana menteri.

Katanya, Puad gagal mengesahkan dakwaannya dan enggan menurunkan hantaran itu walaupun surat tuntutan sudah dihantar kepadanya.

Katanya, kenyataan itu menggugat kewibawaannya secara serius selain menghakis keyakinan umum terhadapnya, seterusnya menyebabkan plaintif diheret dalam skandal umum, kebencian dan mendapat nama buruk.

Muhyiddin menuntut ganti rugi, injunksi tetap untuk menghalang Puad daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, dan permohonan maaf tanpa syarat.

Beliau juga mahu semua portal berita yang menerbitkan kenyataan Puad menurunkan artikel yang memfitnah itu serta menerbitkan permohonan maaf secara jelas.

 



Comments
Loading...