NGO: Adakah Dr M tahu tentang dakwaan terhadap Zeti dan keluarga?
Pengakuan itu terkandung dalam perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani pada Mac 2019. Wang tersebut dikatakan disalurkan ke akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan ketiga-tiganya mengaku sebagai pemilik benifisiari kepada akaun tersebut. Menurut Free Malaysia Today, SD tersebut disahkan tulen oleh peguam saksi.
(Malaysiakini) – Sebuah NGO antirasuah menjadi pihak terbaru yang menuntut penjelasan berkenaan laporan yang mengaitkan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya dengan skandal 1MDB.
Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) juga menyasarkan Dr Mahathir Mohamad, dengan membangkitkan tindakan perdana menteri itu yang melantik Zeti sebagai Majlis Penasihat Kerajaan selepas PRU14.
“Adakah Mahathir tahu tentang perkara ini?
“Pelantikan Zeti sebagai ahli majlis tersebut menjejaskan usaha mencari kebenaran di sebalik skandal 1MDB.
“Ia juga memberi kesan terhadap pelantikannya sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB). Jika hal ini dalam pengetahuan Mahathir, maka ia adalah satu salah guna kedudukan,” kata C4 dalam kenyataan.
C4 mengulas laporan The Edge bahawa pihak berkuasa Singapura memberi makluman kepada BNM berkenaan transaksi meragukan berjumlah RM66 juta dari ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada sebuah syarikat didakwa milik suami dan anak Zeti pada 2015, iaitu ketika dia menjadi gabenor BNM.
“Jika aliran wang dalam skandal 1MDB masih tidak cukup untuk menunjukkan tahap rompakan yang parah, pendedahan ini jika benar menunjukkan lagi korupsi dalam institusi kita.
“Hakikat yang merisaukan berkenaan pendedahan ini adalah, jika ia memang ada kebenaran, kewibawaan BNM secara keseluruhan akan dilihat terjejas, dan menunjukkan unsur-unsur subahat dan korupsi.
“Maklumat ini perlu disahkan segera oleh pihak berkuasa. Tindakan menutup mulut hanya mencetuskan lebih banyak persoalan dan spekulasi, yang akan melemahkan lagi kepercayaan rakyat terhadap institusi dan pihak berkuasa,” katanya lagi.
C4 turut menuntut penjelasan sama ada Zeti tahu atau tidak berkenaan transaksi tersebut, dan jika BNM gagal untuk bertindak.
“C4 menggesa jawapan segera dan penyiasatan lanjut berkenaan perkara ini, dan agar pihak yang terlibat tampil memberi penjelasan.
“Kebertanggungjawaban adalah unsur penting dalam pentadbiran, dan pendedahan seumpama ini menyukarkan lagi usaha memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap pentadbiran dan institusinya,” kata C4.
Semalam, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga menggesa penjelasan berkenaan dakwaan terbaur itu, dengan menekankan ia melibatkan reputasi BNM.
Pada Disember lalu, suami dan dua anak lelaki Zeti dilaporkan mengaku tahu ada menerima wang dari dana 1MDB.
Pengakuan itu terkandung dalam perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani pada Mac 2019. Wang tersebut dikatakan disalurkan ke akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan ketiga-tiganya mengaku sebagai pemilik benifisiari kepada akaun tersebut.
Menurut Free Malaysia Today, SD tersebut disahkan tulen oleh peguam saksi.
Sebelum ini, Zeti menyifatkan dakwaan terhadap dirinya dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat, dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB.
“Saya ingin menegaskan yang saya dan keluarga tidak pernah menerima apa-apa wang daripada 1MDB,” katanya, sambil menambah yang dia telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan 1MDB.
Zeti juga berkata dia telah memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun, dia berkata tidak dapat memberi ulasan lanjut kerana dia mungkin dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang masih berlangsung.
Pada Julai lalu, Najib dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan menyelewengkand ana berkaitan SRC International Sdn Bhd, iaitu bekas subsidiari 1MDB.
Dia juga masih berdepan 25 lagi pertuduhan pengubahan wang haram dam salah guna kuasa melibatkan RM2.28 bilion wang 1MDB.
Zeti sebelum ini menegaskan dia tidak tahu berhubung dana yang disalurkan ke akaun Najib.
Dia mendakwa Najib pernah memanggilnya pada 2015 dan meminta dia membersihkan namanya, tetapi permintaan itu ditolak Zeti.
Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini susulan kekalahan dalam PRU 2018, Najib mendakwa Zeti tahu berkenaan jumlah wang di akaun banknya, yang didakwanya merupakan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.