Lebih banyak Umno negeri, bahagian akan terima Bersatu – Annuar
(Malaysiakini) – Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Annuar Musa, membayangkan lebih banyak lagi bahagian parti itu atau kepimpinan peringkat negeri bakal mengambil pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu.
Kenyataannya itu hadir selepas Umno Perlis dan Sabah menyatakan pendirian mereka yang bertentangan dengan kecenderungan rasmi MT Umno.
Ia juga berlaku sesudah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ia juga memberikan isyarat bahawa Ahmad Zahid bakal berdepan dengan lebih banyak kesukaran untuk membawa agenda yang dinyatakan Umno sebelum ini.
Kata Annuar, berdasarkan “tinjauan” sebenarnya banyak bahagian Umno lebih suka mengambil pendekatan strategik untuk terus bekerjasama dengan “parti Melayu”.
Mereka juga kata Annuar memilih untuk memutuskan pendirian berkenaan soal kerjasama dengan Bersatu setelah parlimen dibubarkan.
Bekas setiausaha agung Umno itu juga mendakwa kenyataan 147 bahagian Umno menolak Bersatu adalah tidak tepat, sebaliknya hanya 118 bahagian yang mengemukakan usul berkenaan.
Akan ikut Perlis, Sabah
Itu pun dakwa Annuar lagi kerana mereka diarahkan berbuat demikian, dan tidak kurang juga mengubah pendirian setelah mendapat penjelasan berkenaan hal itu.
“Difahamkan beberapa pemimpin kanan parti akan mula turun ke bawah dan membuat penjelasan dan akan mengambil pendirian menolak cara yang diambil pemimpin tertentu.
“[…] Kini semakin banyak bahagian Umno memilih untuk mengambil langkah lebih bijaksana iaitu kekal bekerjasama, berunding sesama parti Melayu, fokus menjayakan usaha kerajaan membantu rakyat memerangi Covid-19, immunisasi dan memulihkan ekonomi,” katanya di Facebook hari ini.
Meskipun tidak menyebut nama secara khusus Annuar dipercayai menujukan kenyataan tersebut kepada Ahmad Zahid.
Untuk rekod Ahmad Zahid bukanlah satu-satunya pemimpin Umno yang bertegas mahu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu. Selain ahli parlimen Bagan Datuk itu, beberapa pemimpin Umno juga secara terbuka menyokong pendirian berkenaan seperti ahli MT, Puad Zarkashi.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mendakwa dia yakin selepas ini akan ada Umno negeri lain akan mengikuti langkah Perlis dan Sabah.
Annuar sebelum ini menempelak keputusan MT Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu yang dizahirkan melalui surat presiden Umno kepada presiden Bersatu.
Kata Annuar, Umno wajib memimpin muafakat parti-parti Melayu, bukannya lari daripadanya, lebih-lebih lagi persetujuan dicapai untuk Umno mendapat paling banyak kerusi dalam PRU ke-15 berbanding Bersatu dan PAS.
Katanya, untuk menghadapi PH strategi ke arah PRU harus diambil secara pragmatik dan ketetapannya harus dibuat apabila tiba masanya, bukan sekarang.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno tetap memiliki hala tuju dan pengkritiknya tidak harus menganggap sebaliknya jika ia tidak mengikut atau memenuhi “keperluan peribadi tertentu”.
“Umno ada hala tuju. Saya pernah beri penjelasan panjang lebar mengenainya sebelum ini. Atau mungkin Umno hanya dianggap ada hala tuju jika ikut kemahuan mereka.
“Tidak bolehlah begitu. Tidak boleh sekadar memenuhi keperluan peribadi tertentu. Hala tuju Umno mesti demokratik. Bermusyawarah. Berdasarkan kepentingan akar umbi parti, negara dan rakyat keseluruhan,” katanya di Facebook.