‘Musuh cuba kawal Umno selepas tak mampu musnahkannya’
(Malaysiakini) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ada pihak yang cuba mengawal Umno setelah gagal menghancurkan parti itu.
Zahid berkata, pihak tersebut tahu Umno adalah “parti keramat bangsa dan agama” yang mampu bangkit semula selepas tewas dalam PRU 2018.
“Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan Umno ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya.
“Untuk itu Umno mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan. Menggunakan broker bertaraf jurucakap dan dakwa merekalah penyatuan ummah.
“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Zahid bagaimanapun tidak menyebutkan secara khusus pihak yang dimaksudkan, tapi kenyataan itu hadir selepas Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.
Terdahulu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU ke-15. Ia selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak Umno menyatakan pendirian berkenaan hubungan dua parti itu.
Bagaimanapun, Umno Perlis dan Sabah baru-baru ini menyatakan pendirian yang bertentangan, iaitu untuk meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula membayangkan lebih banyak lagi Umno peringkat bahagian dan negeri yang akan mengambil pendirian itu.
Mengulas lanjut, Zahid berkata ada pemimpin parti yang digelar sebagai “kluster mahkamah” dan ingin mengelakkan diri daripada pendakwaan, kerana enggan menggadaikan parti itu.
“Sedangkan pemimpin ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia perjuangkan Umno.
“Jika mahu lihat Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’. Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’,” katanya lagi.
Jika percubaan untuk mengawal Umno itu berjaya, kata Zahid lagi, jenama parti akan dipergunakan dan jutaan ahlinya akan diperkudakan.
“Tanpa cabaran pemimpin dan ahli Umno, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin…Adakah harus kita menyerah? Adakah perlu pasrah dan relakan sahaja cubaan pengambilalihan ini?” soalnya.