Telatah mereka bagaikan burung kasuari – Hadi


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG, EDISI 9

ALHAMDULILLAH, sudah genap setahun Perikatan Nasional (PN) memerintah negara yang tercinta. Langkah yang bermula dengan bismillah selepas sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya sekadar beberapa minit ketika berada di Sheraton sepertimana yang diberikan nama oleh sebahagian pihak.

Sebenarnya kemenangan Pakatan Harapan (PH) sangat rapuh, lantaran ramai rakyat tertipu dengan manifesto dan janji PRU-14 yang dikemukakan, laksana permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah lupa.

Khususnya mereka yang lupa terhadap janji-janji PH yang terlalu banyak, dan tidak perlu disebutkan semuanya. Jika diingati kembali, antaranya janji PH untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh kurang 24 jam, menghapuskan tol dan banyak perkara lagi.

Bagi PH tidak salah menjanjikan sedemikian rupa, kerana itu semua bukannya kitab suci. Jika kitab suci sekalipun boleh disanggah, apatah lagi manifesto dan janji sebegitu.

Beberapa peristiwa perundangan berlaku, antaranya seperti usaha untuk membebaskan pemimpin-pemimpin tertentu laksana lampu Aladdin yang memanggil jin untuk dilakukan dengan cepat.

Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain. Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya.

Kemudian mereka menunjukkan kegelojohan untuk menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.

Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja.

Kedudukan pakatan politik mereka rapuh, laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak.

Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih.

Pas yang sudah lama menjadi pembangkang, mendapat rakan pembangkang yang baharu, namun Pas sudah berpolitik sejak zaman penjajah lagi dan mempunyai pengalaman menyertai pilihan raya semenjak Pilihan Raya Pra-Kemerdekaan pada tahun 1955.

Pas sudah terlalu biasa dengan sepak terajang politik, bukan seperti kebanyakan komponen parti politik dalam PH yang baru belajar politik setahun jagung. Inilah barangkali yang menyebabkan mereka hanya baru menyedari dan nampak Langkah Sheraton yang sangat pendek.

Perubahan kerajaan PH kepada kerajaan PN dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.

Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat yang tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera, dan tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas.

Apa yang berlaku adalah perubahan secara bersih, cuma sukar untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh PH dalam beberapa tahun apabila mereka membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek. Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan.

Sebenarnya kami bekerja siang dan malam ketika PH sedang bergaduh siang dan malam. Kejayaannya berusaha mengambil yang jernih dan menolak yang keruh. Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran.

Kini, mereka masih bercakaran antara satu sama lain kerana merasakan PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Ketika hendak mencadangkan agar dilaksanakan PRU-15 pun mereka sudah berkhilaf antara satu sama lain.

Ada yang bersuara dan mendesak agar pilihan raya ditangguhkan kerana penularan Covid-19 yang berlaku. Ada juga yang mendesak perlu disegerakan pilihan raya dengan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bahkan terdapat kalangan mereka yang lebih gelojoh mahu membuat langkah sepertimana Langkah Sheraton dalam tempoh masa yang singkat. Sehingga menghantar borang kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong supaya Tuanku mengisi borang dan bekerja mencari tandatangan wakil-wakil rakyat bagi pihak dirinya.

Laksana seorang budak pejabat, yang berusaha untuk mendapatkan tandatangan ahli-ahli Parlimen yang dijadikan teka-teki telah bersetuju melantik seseorang sebagai calon PM.

Ada yang berkata, PH tidak berpolitiking, kononnya taat setia kepada titah Tuanku supaya tidak berpolitiking. Akan tetapi, mereka tetap juga berpolitiking mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.

Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang.

Terdapat dalam kalangan pakar politik dan ekonomi bertaraf Profesor mengatakan bahawa kerajaan PN tidak mampu menangani krisis ekonomi.

Padahal kaki sembang kedai kopi pun tahu, bahawa Malaysia kini (bukan media Malaysiakini) berada di muka bumi yang seluruhnya dilanda wabak Covid-19, dan Malaysia juga berada di bumi, bukannya di planet angkasa lepas.

Semua orang mengetahui apa yang mereka telah lakukan sewaktu PH berkuasa tanpa Covid-19 dalam tempoh masa hampir dua tahun.

Bandingkanlah pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh PN selepas genap setahun memimpin sebuah kerajaan dalam suasana wabak pada hari ini.

Malangnya, masih terdapat manusia yang terpengaruh dengan sembang kosong PH, yang sedang melompat-lompat ingin mengambil alih semula kerajaan dengan kadar lebih segera berbanding Langkah Sheraton.

Lebih malang juga, terdapat mereka yang bertindak laksana mendengar guruh di langit, air di dalam tempayan dicurahkan. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka yang melompat ke arah PH laksana orang lemas memeluk batu yang disangka pelampung penyelamat.

Semua perkara yang berlaku disebabkan tertelan janji yang sukar menyebut ‘Insya-Allah’, kerana harapannya setiasa melihat ke arah ‘White House’ bukan ke arah Rumah Allah (Baitullah).

Marilah kita menjadi orang yang tidak lupa kepada Allah SWT, walaupun sedang menghadapi masa depan yang sukar kerana firman-Nya:

“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: ‘Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi.’ (23); Kecuali (dengan menyebut): ‘Insya Allah.’ Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberikan kepadaku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.’ (24).” (Surah al-Kahfi: 23-24)

Dipetik dari ruangan Minda Presiden Pas.

 



Comments
Loading...