‘Boleh kerjasama, tapi beri Umno jawatan PM’
(Malaysiakini) – Umno boleh pertimbang kerjasama dengan PKR, namun jawatan perdana menteri perlu diberikan kepada Umno, kata Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.
Jelasnya, akar umbi pasti menolak kerjasama dengan PKR jika matlamatnya adalah untuk mengangkat Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Pada hemat saya, kita terbuka untuk pertimbang kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ikhlas dan jujur dalam kerjasama tersebut. Dan ia juga bergantung kepada penerimaan akar umbi Umno dan pucuk pimpinan parti.
“Saya tidak rasa akar umbi Umno akan terima kerjasama ini jika tujuan Anwar semata-mata kerana dia ingin jadi perdana menteri.
“Oleh itu, jika Anwar ikhlas untuk bekerjasama dengan Umno maka dia perlu terima hakikat bahawa dia tidak boleh paksa Umno untuk terimanya sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Anwar mendakwa bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Anwar mengumumkan bahawa dia akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul 4.30 petang dan dijangka akan menyentuh isu tersebut.
Dia juga dijangka mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti baru-baru ini.
Difahamkan, kedua-dua parti tidak berpuas hati dengan Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menerima penyertaan sejumlah anggota parlimen yang berpaling tadah dari Umno dan PKR.
Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata bahawa kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan.
Dalam pada itu, Isham berkata jika tujuan kerjasama bagi mengangkat Anwar sebagai perdana menteri, niat itu sama seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan Umno untuk mencapai cita-cita.
Katanya, sebelum ini negara telah mencuba selama 22 bulan bersama perdana menteri Pakatan Harapan (PH) dan 12 bulan bersama perdana menteri Perikatan Nasional (PN) dan ianya telah gagal untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi.
“Perdana menteri PKR (PH) tidak akan merubah keadaan ini.
“Pada pandangan saya, perdana menteri perlu datang dari parti yang paling besar dengan akar umbi Melayu Islam yang paling ramai, iaitu Umno.
“Ini kerana, negara ini masih lagi majoriti Melayu dengan kumpulan terbesarnya umat Islam, dan selama ini Umno yang berterusan banyak memperjuangkan kumpulan ini tanpa meminggirkan atau mengenepikan hak-hak kaum-kaum lain,” katanya.
Oleh itu katanya percaturan itu amat penting untuk kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan sosial negara.