Kerjasama Umno-Pakatan Harapan: kenapa perlu tunggu sehingga PRU15?


Khalid Abd Samad, Malaysiakini

Sekian lama, bagi yang telah bersama dengan pembangkang, Umno adalah epitome atau lambang politik rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan perkauman. Ramai yang bersama pembangkang, dan tidak bersama kerajaan yang dibentuk Umno, atas sebab itu. Apabila disebut “Umno”, maka bagi ramai, ia sinonim dengan politik kotor dan jahat.

Oleh itu, apabila dicadangkan kerjasama dengan Umno, ramai terkejut dan menganggap ia satu cadangan yang semestinya ditolak. Lebih lebih lagi bagi mereka yang telah lama menentang corak politik Umno sepertimana yang disebutkan tadi.

Bagi Amanah, terbentuknya parti tersebut adalah atas sebab menentang kerjasama dengan Umno yang dibawa pemimpin tertinggi PAS secara pintu belakang dan tidak bermaruah.

Sambil mulut pemimpin menafikan adanya kerjasama dengan Umno, tindakan jelas sebaliknya.

Maka dijatuhkan kesemua pemimpin yang menentang kerjasama dengan Umno pada 2015 melalui ‘chai’ Dewan Ulama, dan sekarang ini PAS tanpa segan silu bersekedudukan dengan Umno.

Persoalan kerjasama dengan Umno akhirnya menyebabkan PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) ketika itu, walaupun DAP digunakan sebagai alasan. Dan dengan itu kehendak Umno juga akhirnya tercapai.

Hakikatnya, Umno hanya mempelawa PAS untuk berkawan supaya PR berpecah. Namun strategi tersebut gagal mencapai matlamat sebenarnya apabila Pakatan Harapan (PH) dibentuk dan BN tetap dikalahkan pada PRU ke-14.

Adakah pelawaan berkawan dari Umno masa itu ikhlas dan jujur? Terpulang pada semua menilai sendiri. Namun yang jelas, hasil tawaran itu, PR tiada lagi.

Dan PAS menjadi bagaikan parti yang sudah hilang punca dan jati diri, terkontang-kanting ke sana dan ke sini, mencari parti lain untuk dijadikan ‘rakan setia’.

Sekarang, sekali lagi, kerjasama dengan Umno ditawarkan tetapi kali ini bersama PH. Ada kemungkinan tawaran ini menjejas hubungan dalam PH pula? Adakah itu sebenarnya matlamat pelawaan Umno terhadap pemimpin tertinggi PH? Ditawarkan kerjasama supaya PH pula berpecah?

Namun ada beza. Bezanya cara tawaran ini ditangani. Pada zaman PR, PAS sebagai salah satu parti komponen, menafikan adanya cadangan berbuat demikian.

Dan untuk memungkinkan ianya dilakukan, maka diserang DAP supaya ahli biasanya melihat keluarnya PAS dari PR bukan kerana ingin bercumbuan dengan Umno tetapi kerana bergaduh dengan DAP.

Tetapi pada zaman PH, cadangan ini dibentang secara terbuka dan akan dibahas secara mendalam dan bukan dilaksana hasil strategi pintu belakang atau tebuk atap yang dipaksakan ke atas parti.

Bukan untuk kuasa saja

Sepertimana disebut pimpinan PH, kerjasama dengan Umno, sekiranya ingin diusahakan, adalah atas syarat-syarat tertentu dan bukan atas sebab-sebab expediency atau cara mudah dan pantas mencari kemenangan.

Perjuangan politik mesti mempunyai asas dan matlamat yang jelas, bukan untuk semata-mata mendapat kuasa.

Mesti berprinsip dan bermaruah, bukan bersifat politik pelacur yang hina. Dan selagi mana asas dan matlamat dipersetujui bersama, maka kerjasama adalah mungkin.

Namun untuk ia berlaku, secara realitinya, semestinya Umno perlu berubah dan tidak lagi dilihat sebagai pengamal politik rasuah dan korup.

Sekiranya benar Umno telah insaf dan ingin kembali kepada jalan yang lurus, maka semestinya kita membantunya dan bersamanya.

Sememangnya ‘reformasi politik’ yang diperjuangkan termasuk membawa perubahan kepada budaya politik lama yang diamalkan pengamal politik negara, ia itu dari politik perkauman, rasuah dan salah guna kuasa kepada politik bermaruah dan berprinsip.

Tetapi, persoalannya, adakah Umno telah berubah?

Dan sekiranya Umno tidak berubah dan kita tetap bersedia bekerjasama dengannya, maka tidakkah ia bermakna bahawa kita, yang sekian lama menolak kerjasama dengan mereka, adalah pihak yang telah berubah?

Bagi Amanah, pendekatan PH Plus yang diusahakan untuk PRU15 bererti PH yang memimpin. Yang lain mengikut dan menambahkan lagi sokongan dan kerusi pada PH.

Dalam pada itu, perlu ditanya, adakah Umno akan sanggup main second fiddle atau menjadi pengikut pada PH? Rasanya semua sudah tahu jawapan pada soalan itu.

Ada yang menyebut bahawa kerjasama ini selepas PRU15, sekiranya semua pihak tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Dalam keadaan sebegitu memang ia wajar dipertimbangkan. Namun persoalan yang perlu dijawab adalah, sekiranya Umno boleh terima Anwar Ibrahim sebagai PM, kenapa perlu tunggu sehingga PRU15?

Dengan 34 kerusi parlimen yang merupakan milik mereka, lakukan sahaja sekarang!

Apa pun persoalan ini perlu dibincang dan dibahas oleh pimpinan PH sesegera yang mungkin. Kalau ia tidak dimuktamadkan secara tuntas, maka peluang untuk memenangi PRU ke-15 semakin tipis.

KHALID ABD SAMAD ialah pengarah komunikasi Amanah.

 



Comments
Loading...