Perang psikologi Anwar pecah belahkan Umno
Sekiranya dahulu Anwar gagal, maka kali ini, beliau akan turut gagal. Mengapa?
Kamarazaman Yacob, Malaysia Now
Ini perang psikologi Anwar Ibrahim sahaja. Untuk menimbulkan kekeliruan kepada ahli-ahli Umno.
Iya, mungkin ada kepimpinan Umno yang berbincang dengan Anwar.
Pernah Anwar mendapat surat sokongan daripada pemimpin Umno untuk menjadi perdana menteri ke-9.
Tetapi pemberi sokongan itu, tidak mampu membawa ahli-ahli Parlimen Umno menyokong tindakannya.
Itu sudah terbukti.
Dan Annuar Musa pernah menjelaskannya. Sudah menjadi sejarah.
Sekali lagi, Anwar cuba mengocakkan “yang memang berkocak” di dalam kolam Umno.
Tetapi, saya percaya, ianya tidak mampu memecahkan dinding kolam Umno, hingga tumpah dan mengalir ke arah kolam Pakatan Harapan (PH). Lalu bergabung.
Sekali lagi, saya percaya Anwar terpedaya oleh pemain yang sama, semasa mendapatkan sokongan Umno untuk menemui Yang di-Pertuan Agong, bagi menyambar kerusi perdana menteri ke-9.
Sekiranya dahulu Anwar gagal, maka kali ini, beliau akan turut gagal. Mengapa?
Pemain yang akrab cuba memberi sokongan kepada Anwar ini, tidak lagi menguasai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Malah tidak juga menggenggam kepimpinan negeri dan bahagian.
Jadi, bagaimana mereka dapat membawa dan memindahkan sokongan dari pendokong Umno kepada Anwar dan PH?
Suara-suara dari akar umbi, kononnya sudah bersedia memutuskan kerjasama dengan Bersatu itu, hanyalah suara-suara nakal yang dicanang bagi mengelirukan pendokong Umno.
Memang terdapat pendokong yang terkeliru dengan canangan itu. Lalu “Si Keliru” ini menjadi burung “Kakak Tua”.
Tetapi, bila dijelaskan keadaan sebenarnya.
Mereka menyedari, bahawa ketiga-tiga parti Melayu, iaitu Umno, PAS dan Bersatu perlu bersama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kalau dahulu, terdapat pemimpin Umno yang berjawatan, turun ke bawah menggunakan tiket parti, membawa cerita-cerita negatif terhadap hubungan dengan Bersatu.
Menyatakan kerugian bersama Bersatu. Menggambarkan kemampuan Umno membentuk kerajaan pasca PRU15, secara bersendirian.
Tetapi, bila terdapat pemimpin Umno, yang memahami kedudukan sebenarnya, sekiranya bersendirian turun ke bawah menjelaskan kepada akar umbi tentang untung-ruginya.
Akhirnya, pendokong Umno bersedia untuk meneruskan kerjasama bersama Bersatu.
Dipercayai, pada Perhimpunan Agung Umno pada 27-28 Mac nanti, suara majoriti perwakilan akan menggesa dan memutuskan untuk mengekalkan kerjasama Umno, Bersatu dan PAS semasa dan selepas PRU15.
Degan mengekalkan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan yang telah dibuat oleh Shahidan Kassim dan Bung Mukhtar, adalah denai yang akan menjadi ikutan majoriti ketua perhubungan Umno negeri.
Mungkin Anwar tahu lagi sedar akan kedudukan perkara yang sebenarnya.
Anwar, bukanlah pemain politik yang bebal lagi tolol.
Kemampuan Anwar bersilat di gelanggan politik, setara sahaja dengan Dr Mahathir Mohamad.
Cuma, semasa bertembung dengan Mahathir, kuasa berada di tangan bekas perdana menteri itu.
Hulu pisau di tangan Mahathir. Itulah yang menyebabkan dua kali Anwar tersungkur dan tangannya dikilas oleh Mahathir.
Kekalahan Anwar bukanlah kerana kebebalannya.
Jadi, kalau Anwar sudah dapat mengimbau keadaan sebenarnya, mengapa dia masih mahu membuat sidang akhbar, tentang hubungan PKR-Umno?
Itu adalah taktik dan strategi Anwar. Tujuannya?
Anwar menyedari, selepas Larry Sng, Steven Choong dan yang terakhir Xavier Jayakumar keluar meninggalkan PKR, berkemungkinan besar ramai lagi yang keluar dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Jadi untuk memberi keyakinan kepada ahli-ahli Parlimen PKR, bahawa partinya akan kembali menjadi kuat, kerana Umno bersedia untuk bersama.
Terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan adanya ahli-ahli Parlimen Warisan, DAP, bebas yang akan keluar parti dan memberi sokongan kepada Muhyiddin.
Barangkali, atas kebimbangan itulah, Anwar membuat sidang media untuk menyatakan Umno akan bersama PKR.
Juga secara tidak langsung, Umno turut bersama PH.
Anwar sedar, sekiranya Muhyiddin mendapat lebih 120 ahli Parlimen, maka kerajaan PN menjadi begitu kukuh.
Kedudukan Muhyiddin semakin mantap. Suara-suara tentang kerajaan PN adalah kerajaan minoriti, secara automatik terpadam.
Kesimpulannya, Anwar akan berkelana persis Buddha berkelana mencari Nirwana.
Harapan mengejar kerusi perdana menteri ke-9 akan berkubur.
Akhirnya, Anwar menjadi calon perdana menteri menunggu yang terus menunggu dan tidak kesampaian.
Kamarazaman Yacob merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.