Pemimpin pembangkang desak Anwar tolak kerjasama dengan ‘kleptokrat’


(FMT) – Pemimpin Amanah, DAP, Muda, Warisan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendesak Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat, susulan laporan media mengaitkan presiden PKR itu merangka persefahaman awal bersama segelintir wakil rakyat Umno.

Menerusi kenyataan bersama Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong, Pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman, Baru Bian dari PSB dan Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman, mereka menggesa Anwar terus mengukuhkan blok besar pembangkang.

“Kami menyeru Anwar mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat. Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini.

“Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan wujud usaha di peringkat awal untuk menjalin kerjasama dengan Umno ketika negara menuju PRU15, dengan beberapa pertemuan diadakan dengan pemimpin parti itu yang menampakkan hasil “positif”.

Dalam siri temubual dengan Utusan Malaysia, ketua pembangkang berkata pertemuan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.

Menurut mereka, selain berdepan dengan kegagalan pentadbiran, Malaysia turut berhadapan dengan kecelaruan dan pengurusan ekonomi ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang berpanjangan.

“Blok pembangkang perlu kukuhkan kerjasama dan kesepakatan sesama parti dan Ahli Parlimen bagi membawa satu agenda bersama untuk memulihkan Malaysia. Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai, ekonomi, kesihatan dan politik, kepimpinan Perikatan Nasional tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan jelas,” katanya.

Tegas mereka, kelompongan yang ada ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat.

“Tatkala, PN gagal menzahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri tauladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan,” katanya.

 



Comments
Loading...