Pusingan lengkap: Mengapa kerjasama Anwar dan Zahid tidak mengejutkan


Hubungan baik Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi bermula ketika mereka bersama berjuang dalam Umno.

(Malaysia Now) – Kerjasama politik yang mesra antara pemimpin PKR dan Umno sememangnya bukan hal yang mengejutkan bagi pemerhati politik Melayu.

Serupa juga dengan pengakuan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berkata sedang berunding dan mungkin akan bekerjasama dengan Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi.

Ia tidak mengejutkan.

Bahkan pengakuan itu melengkapkan hubungan mereka yang sudah lama bermula.

Hubungan mereka berdua bermula sejak 1970-an ketika kedua-duanya merupakan aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Ia mulai mekar ketika mereka berjuang dalam Umno pada 1990-an ketika Anwar menjadi timbalan presiden dan Zahid merupakan ketua Pemuda yang ketika itu dalam parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Zahid menjadi ketua Pemuda Umno pada 1996 disebabkan sokongan Anwar selepas orang kuat kepada Mahathir, Rahim Thamby Chik yang juga ketua menteri Melaka terpaksa berundur selepas dituduh mencabul gadis bawah umur.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut kemudiannya ditarik balik oleh pendakwaraya kerana bukti tidak mencukupi.

Pada 1996, Pemuda Umno pimpinan Zahid menggempur persidangan “Second Asia Pacific Conference on East Timor” di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diadakan aktivis Asia Pasifik sebagai solidariti kepada perjuangan rakyat Timor Timur bagi menuntut kemerdekaan dari Indonesia.

Setiausaha Pemuda Umno pada ketika itu, dan berdemonstrasi di hotel tersebut secara biadab sehingga menyebabkan aktivis-aktivis yang menggerakkan persidangan tersebut ditahan.

Antara yang ditahan pada ketika itu adalah Chua Tian Chang, Syed Husin Ali dan Elizabeth Wong yang secara ironinya kini bersama-sama dengan Saifuddin dalam PKR.

Semasa perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998, Zahid memulakan gerakan untuk menggulingkan Mahathir sebagai presiden apabila mendakwa kerajaan mengamalkan nepotisme dalam pemberian projek-projek penswastaan.

Ucapan kerasnya itu dilihat sebagai satu “serangan” terhadap kepimpinan Mahathir dan sebagai tindak balas, perdana menteri itu mengeluarkan senarai syarikat dan individu yang memperolehi projek-projek penswastaan dan kontrak kerajaan yang turut menyenaraikan nama Zahid sebagai salah seorang penerimanya.

Ketegangan antara Mahathir dan Anwar memuncak pada 2 September 1998 yang berakhir dengan Mahathir memecat bekas presiden Abim itu sebagai timbalan perdana menteri dan keesokannya sebagai timbalan presiden Umno kerana didakwa terlibat dengan perlakuan seks luar tabii dan salahguna kuasa.

Zahid menyokong Anwar yang dipecat dan terlibat dalam perhimpunan menjelajah ke seluruh negara sehingga menjadi salah seorang yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama-sama Anwar dan beberapa yang lain.

Bagaimanapun, Zahid yang dibebaskan pada 30 September 1998 kekal dalam Umno dan tidak bersama dengan penyokong-penyokong Anwar yang lain menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Keadilan Rakyat selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada tahun 2005.

Anwar kemudiannya dipenjarakan pada April 1999 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah dalam kes salah guna kuasanya.

Zahid yang terus kekal dalam Umno dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan pada era Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri sehinggalah menjadi timbalan perdana menteri ketika zaman pentadbiran Najib Razak.

Sementara Anwar pula, keluar masuk penjara disebabkan terlibat dengan seks di luar tabii tetap terus bersama parti-parti pembangkang seperti DAP, PAS dan Amanah dari gabungan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah Pakatan Harapan (PH).

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...