Kalimah Allah: Sultan Johor arah majlis agama sokong rayuan pusat


(Malaysiakini) – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyokong usaha kerajaan persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kebenaran bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Titah baginda, tindakan itu demi memelihara sensitiviti umat Islam dan mempertahankan perpaduan.

Sultan Ibrahim, turut meluahkan rasa dukacita baginda dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang sepatutnya mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum sebelum membuat keputusan.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama diambil kira dalam apa apa jua keputusan atau penghakiman.

“Selaku ketua agama Islam di negeri Johor saya menyeru kepada kerajaan persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini.

“Malah, saya akan mengarahkan Majlis Agamad Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan ini,” titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah kalimah Allah merupakan nama khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama lain,” titah baginda lagi.

 



Comments
Loading...