Bimbang Umno ‘tikam belakang’, penyokong Anwar desak konvensyen tergempar bincang kerjasama
(FMT) – Penyokong Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR mengadakan konvensyen tergempar bagi membincangkan isu kerjasama dengan Umno.
Abdul Razak Ismail berkata, langkah itu penting bagi mendengar sendiri maklum balas ahli sama ada merestui atau menolak kerjasama dengan Umno yang juga musuh tradisi khususnya PKR sejak lebih 23 tahun.
“Bagi saya secara peribadi, keputusan untuk bekerjasama dengan Umno banyak impak dan implikasinya kepada akar umbi parti dan senario politik tanah air. Maka amat wajar ahli parti diberikan peranan untuk membuat keputusan bersama.
“Biar kita dengar apa pandangan akar umbi sama ada mereka menerimanya dengan baik atau menolaknya dengan lantang. Mereka telah lawan Umno dan BN lebih 23 tahun selepas pemecatan dan pemenjaraan Anwar sejak 1998.
“Selama ini, pucuk pimpinan membuat keputusan parti secara ‘top to bottom’ (dari atas ke bawah) tapi untuk keputusan besar kerjasama ini disarankan agar akar umbi parti diberikan peranan untuk membuat keputusan dari bawah ke atas (from bottom to top), katanya yang juga setiausaha Otai Reformis kepada FMT.
Katanya, PKR perlu memikirkan secara masak sebelum memuktamadkan keputusan kerana ia melibatkan maruah dan air muka ahli parti yang sebelum ini berjuang habis-habisan menentang Umno dalam gelanggang politik.
“Ini melibatkan maruah dan air muka mereka. Satu ketika dulu mereka meludah dan memaki hamun pimpinan-pimpinan Umno dan tiba-tiba mereka terpaksa telan semula ludahan dan makian mereka bila pucuk pimpinan parti menerima ‘kerjasama politik’ dengan Umno bagi menghadapi PRU15 nanti,” katanya.
Razak berkata, pihaknya juga bimbang PH akan menjadi mangsa “tikam belakang Umno” apabila menjalinkan kerjasama selepas PRU15 berdasarkan rekod bagaimana parti itu merampas kuasa pentadbiran negeri daripada sekutu sendiri PPBM dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ketulusan Umno sangat diragui, kes kejatuhan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak dan kes Umno berkuasa semula di Johor jelas menunjukkan Umno ‘mampu merampas kuasa’ tanpa mengambil kira kerjasama mereka dengan rakan dan sekutu mereka sebelum ini dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Razak berkata, menerusi konvensyen tergempar itu pucuk pimpinan boleh memberi penerangan lebih jelas kepada ahli selepas PH hilang kerajaan setahun lalu.
“Selepas ‘Langkah Sheraton’ (tumbangnya PH), penerangan lanjut tidak diberikan secara ‘bersemuka’ oleh pimpinan parti (PH-PKR) kepada ahli seluruh negara kecuali kenyataan media secara ‘online’, media sosial atau siaran televisyen dan akhbar.
“Kekangan PKP Covid-19 lebih setahun ini mungkin alasan untuk pimpinan membuat konvensyen tergempar tetapi ia boleh diadakan di negeri masing-masing dengan beberapa pimpinan utama turun untuk memberi penerangan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan wujud usaha menjalin kerjasama dengan Umno ketika negara menuju PRU15, dengan beberapa pertemuan diadakan dengan pemimpin parti itu yang menampakkan hasil “positif”.