PKR, UMNO bincang rampas kerusi Bersatu – Laporan
(Astro Awani) – Perbincangan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO ke arah untuk mengelak pertembungan di antara satu sama lain di kerusi yang sedang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapor portal Malaysiakini.
Laporan yang memetik sumber itu menjelaskan, persefahaman untuk mengelak berlaku pertembungan antara kedua- dua parti itu dibuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun ini.
“Sudah pasti ini dibuat untuk mencari jalan agar tiada pertembungan (di kerusi Bersatu),” kata sumber tersebut.
Kedua-dua parti iaitu PKR dan UMNO yakin jika pertembungan di kawasan yang ditandingi Bersatu berjaya dielakkan, peluang untuk mereka merampas kembali kerusi tersebut akan menjadi lebih cerah dan sekali gus menyukarkan Bersatu mempertahankan kerusi mereka.
Namun setakat ini tidak dapat dipastikan persefahaman sebegitu akan diperluas ke kerusi yang sebelum ini milik UMNO namun kini diwakili PKR antaranya seperti parlimen Johor Bahru dan Tangga Batu.
Bagaimanapun, menurut sumber Pakatan Harapan (PH), mandat yang diberikan kepada PKR untuk berunding dengan UMNO hanya terhad kepada kerjasama bagi mendapatkan semula Putrajaya pada waktu sekarang, bukannya untuk PRU ke-15.
Malah pemimpin DAP dan Part Amanah Negara (Amanah) menegaskan kerjasama dengan UMNO mestilah tidak melibatkan kumpulan yang dilabel ‘kluster mahkamah’ yang ditentang ketika PRU14 lalu.
Desas-desus perbincangan antara beberapa pemimpin PKR dan UMNO tersebar sejak tahun lepas dan disebut sebagai penjajaran baharu politik selepas UMNO dilaporkan tidak berpuas hati dengan Bersatu.
Namun, sehingga kini belum ada pengesahan rasmi tentang rundingan antara kedua parti tersebut.
Segelintir penganalisis politik berpendapat bahawa tidak ada parti yang akan memperolehi majoriti selepas PRU15 nanti.