Mohamad: Jangan Kerana Cemburu UMNO-Bersatu Putus Hubungan
PN BBC) – Semua ahli UMNO perlu bertindak bijak dan berfikiran panjang sebelum menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hubungan dilihat retak berpunca daripada perasaan cemburu dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sifat cemburu hati itu melonjak dalam membangkitkan persaingan untuk berebut kerusi bertanding memandangkan masing-masing sudah nampak jalan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .
“Bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang sama ada buruk baiknya. Memanglah semangat dari bahagian-bahagian nak menolak kerana masing-masing cemburu hati sebab masing-masing dah nampak nak bertanding sebagai calon.
“Sebagai parti saya melihatnya daripada perspektif yang lain, sebagai pemimpin parti di atas bagi saya sengketa ini semata-mata disebabkan oleh cemburu hati tentang pembahagian kerusi.
“Mula-mula kata semua kerusi yang melompat itu kerusi kita, memang pun dalam pendirian kita siapa-siapa yang melompat, kerusi-kerusi daripada ahli Parlimen yang melompat keluar dari UMNO itu memang kita sebut kita akan jadikan sebagai kita punya kerusi tetapi kita boleh berunding tertakluk kepada formula-formula yang kita perlu pakai,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad tidak menolak kemungkinan Bersatu akan berlembut hati dalam pengagihan kerusi di samping perpaduan menerusi Muafakat Nasional (MN) perlu diperkasakan.
“Mungkin Bersatu katakan tak apalah kami bertanding sedikit sahaja apa yang kami menang dan tambah sedikit apa salahnya?. Dia (Bersatu) menang 13 kerusi, itu kerusi hak dia kerana saya gunakan formula mana-mana parti yang menang pada PRU-14 itu kerusi hak masing-masing.
“UMNO menang masa itu 55 kerusi, jadi itu dah automatik kita punya walaupun ‘team 15’ sudah lari tetapi itulah kerusi kita. PAS menang 18 kerusi, Bersatu menang 13 itu kita punya formula pertama, maknanya kita dah ‘kunci’ 55 UMNO, 18 PAS dan 13 Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd turut menjelaskan terdapat lagi cara lain untuk membahagikan kerusi dengan adil bagi PRU yang akan datang yang boleh menggunakan formula parti yang dapat tempat kedua undian terbanyak pada PRU lalu merupakan hak parti itu.
“Misalnya di kerusi Paroi, BN mendapat tempat kedua terbanyak maksudnya itu kerusi BN. Kalau di tempat mana PAS dapat tempat kedua terbanyak itu PAS punya kerusi. Begitu juga kalau tempat mana Bersatu dapat kedua terbanyak itu kerusi dia
“Yang nak kita berebut-rebut sangat apahal? semua ini asas cemburu hati jadi cemburu hati ini tak boleh sangat. Cemburu hati kadang-kadang keluarga pun boleh berpecah, suami isteri boleh bercerai-berai,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa turut menyambut baik pendirian dan formula yang diluahkan oleh Timbalan Presiden UMNO.
“Saya sependapat dengan Mohamad Hasan. Itulah pendirian asal UMNO, dan itulah yang sepatutnya disusuli. Antara kata Timbalan Presiden itu, elak cemburu hati kerusi hendaklah dirundingi.
“Kerusi yang dimenangi parti masing masing PRU14 dipertahankan parti berkenaan dan jika semangat ini diteruskan formula menang besar PRU-15 berada di tangan parti parti Melayu yang sepakat,” katanya.