Pemimpin UMNO memang ghairah bercakap – Mahdzir


(Utusan) – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui pemimpin UMNO terlalu ghairah berucap sehingga timbul teguran dalam kalangan kepimpinan parti itu sendiri.

Menurut beliau, perkara itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik kerana sememangnya karakter pemimpin-pemimpin UMNO adalah sedemikian.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, ia juga menunjukkan keterbukaan dalam demokrasi untuk seseorang pemimpin memberikan pandangan.

“Bukan seorang, malah ramai dalam UMNO (pemimpin) yang nak bercakap sebab dah fesyen dia macam itu sejak dulu.

“Tapi inilah namanya keterbukaan, kalau nak kata pun ia terlampau luas tapi kadangkala tak perlu pun bercakap sebaliknya biarlah pihak yang diberikan tanggungjawab sahajalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program penyampaian bantuan persekolahan Ceria Ke Sekolah TNB Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Mahdzir mengulas kebimbangan beberapa pihak dalam UMNO kerana kelantangan pemimpin-pemimpin parti itu bersuara dan memberikan pandangan berkaitan kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional ( PN).

Menurut beliau, keterbukaan itu bagaimanapun boleh disalah erti oleh pihak-pihak lain khususnya masyarakat selain boleh mengheret kepada keadaan yang tidak baik.

“Masyarakat di luar sana perhatikan, jadi seeloknya kenalah ada tertib sikit,” katanya.

 



Comments
Loading...