DULU TERIMA SEKARANG TOLAK PN: APA SEBENARNYA HALA TUJU UMNO?


Kamarul Yusoff

Menarik sekali membaca kenyataan media Presiden PAS hari ini yang bertajuk “Tawaran Kerajaan Selamatkan Rakyat: Berintegriti dan Berkebajikan”.

Di dalamnya ada terkandung petikan berikut:

“Kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sahaja. Kemudian kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk memasukkan BERSATU, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam memimpin. Seterusnya ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.”

Ini kerana petikan tersebut semacam mengesahkan fakta sahih di bawah:

“Dulu Presiden UMNO dan Presiden PAS jemput BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN). Presiden UMNO dan Presiden PAS tulis surat jemputan kepada Presiden BERSATU. Presiden BERSATU jawab surat itu dengan menyatakan persetujuan BERSATU untuk menerima pelawaan UMNO dan PAS. Presiden PAS istiqamah dengan pelawaan itu, tetapi UMNO selepas itu mati-mati tak nak terima BERSATU sebagai ahli MN pula.”

“Dalam satu pertemuan antara pimpinan utama BERSATU dan UMNO di rumah Presiden BERSATU, pimpinan utama UMNO bahkan menerima Perikatan Nasional (PN) sebagai satu Grand Coalition. Katanya di Semenanjung Malaysia ada Muafakat Nasional yang disertai oleh UMNO, PAS dan BERSATU, di Sarawak ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan di Sabah ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Gabungan ketiga-tiga MN, GPS dan GRS ini akan membentuk PN sebagai Grand Coalition di peringkat nasional. Itu idea pimpinan utama UMNO pada waktu itu. Waktu pertemuan ini berlangsung GRS belum wujud, tetapi sekarang bila GRS sudah wujud, UMNO pula nampaknya ada pemikiran lain.”

“Kita tidak tahu apa sebenarnya hala tuju UMNO.”

 



Comments
Loading...