Pas perlu jelas pendirian sebenar isu kalimah Allah


Pas perlu perjelas pendirian sebenar mereka tentang penggunaan kalimah Allah ekoran dua pimpinan kanan parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung isu tersebut.

(Malaysia Dateline) – Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, beliau mengakui terkejut dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa tiada larangan untuk menyebut perkataan ALLAH walaupun bagi penganut agama bukan Islam.

Mahfuz berkata, kenyataan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam apatah lagi apabila timbalan presiden Pas pula menyatakan sebaliknya.

“Saya agak terkejut dengan kenyataan dibuat Presiden Pas sedangkan sebelum ini keputusan majlis syura menyebut tak boleh guna kalimah itu.

“Kemudian timbalan presiden Pas pula mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan ke mahkamah rayuan.

“Jadi, seorang kata boleh guna, seorang lagi pula kata tak boleh. Dua kenyataan berbeza daripada dua pimpinan tertinggi Pas. Ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Pas perlu perjelas pendirian ini. Jangan tunggangi agama untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di Facebooknya semalam.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata tiada larangan untuk penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah, namun ada sempadan penggunaannya.

Katanya, penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan, bahkan golongan tidak beragama dan ateis (tidak percaya adanya Tuhan) juga tidak boleh dilarang menyebut perkataan ALLAH, jika ia mahu diucapkan atau ditulis.

Bagaimanapun, dua hari selepas kenyataan itu dikeluarkan, Pas pula dilaporkan telah memohon kepada kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam negara ini.

 



Comments
Loading...