PAU2020 platform terbaik Ahmad Zahid jelaskan isu kerjasama dengan PKR
(Malaysia Gazette) – Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) yang akan diadakan esok merupakan platform terbaik untuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan desas desus mengenai kerjasama dengan PKR.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perhimpunan itu memberi peluang kepada Ahmad Zahid memberi penjelasan kepada akar umbi parti.
“Saya fikir Presiden UMNO mungkin mempunyai peluang yang terbaik sewaktu PAU diadakan kerana akan ada Ucapan Dasar Presiden. Saya faham sememangnya ada kesamaran, tanda tanya dan ada berita yang bercanggah.
“Ada yang kata Presiden ada berbincang dengan PKR, ada yang kata ada surat, dan tandatangan berpakat menyokong Anwar Ibrahim, tak ada pulak kata tidak ada.
“PKR sendiri melalui Anwar berkata ada jumpa tapi tidak ada pakatan. Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution pula kata perjumpaan biasa-biasa sahaja.
“Jadi banyak versi, pada saya PAU kali ini adalah peluang terbaik dan eloklah perkara itu diperjelaskan,”katanya pada sidang media majlis penyerahan rumah kepada 395 pemilik kediaman Residensi Razakmas2 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menafikan spekulasi parti itu mungkin bekerjasama dengan PKR pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Ahmad Zahid berkata, setakat ini tiada perbincangan seumpama itu antara dua parti tersebut.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya berjumpa dengan Anwar di Parlimen dan pada majlis perkahwinan namun menjelaskan tiada perbincangan untuk mengadakan kerjasama secara rasmi atau tidak.
PAU2020 akan berlangsung esok dengan acara kemuncak iaitu Ucapan Dasar Presiden yang akan disampaikan Ahmad Zahid pada Ahad ini.