PAS mahu teruskan kerjasama MN, PN-Presiden PAS
(Harakah) – Selepas menilai keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, PAS tetap menyatakan pendirian parti itu mahu meneruskan kerajsama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS semahunya bekerjasama dengan semua parti mengikut konsep bagi menyatukan umat dan bukan memecah belahkannya.
Namun, katanya Kerjasama itu mestilah berasaskan dua perkara iaitu dengan parti yang tidak ‘ekstrem’ dan bukan bersifat ‘liberal’.
“Ya, kita kerjasama dengan semua, tapi ikut konsep kitalah nak menyatukan umat bukan memecahkan umat.
“Kita nak menyatukan umat pertamanya, mesti tidak ‘ekstrem’, tidak ‘liberal’. Dua asas itu. Kita tolak kalangan liberal, tolok kalangan ekstrem. Yang ektrem itu nilai sendirilah siapa yang ekstrem, siapa yang liberal,” tegasnya kepada pihak media.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat atas talian di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Ketika ditanya, dalam situasi sekarang ini maksudnya PAS masih bekerjasama atau menolak Muafakat Nasional, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS masih bekerjasama dengan MN.
Malah, katanya biar masyarakat dan rakyat menilai siapa yang mahukan kerjasama itu diteruskan demi kebaikan umat Islam.
“Kita (PAS) bekerjasama, orang yang tak kerjasama biarlah. Biar masyarakat tengok siapa yang kerjasama dan siapa yang tak kerjasama.
“Kita (PAS) sudah bersetuju, sudah tandatangani (piagam), saya (Abdul Hadi) ‘sign’ (tandatangan), (Dato’ Seri Ahmad) Zahid Hamidi ‘sign’, jemput Tan Sri Muhyiddin, atas nama Muafakat Nasional (MN), itu yang perlu dilaksanakan. Kita (semua) sudah tandatangan, saya boleh tunjuk surat itu.
“Kerjasama yang penting, nama-nama itu tak penting, yang penting kerjasama. Sekarang ini, Perikatan Nasional (PN) sudah didaftarkan,” jelasnya.
Dato’ Seri Abdul Hadi turut diminta mengulas saranan Zahid Hamidi agar PAS berfikir tentang kerjasama asal dalam MN, kata Presiden PAS itu PAS telah buat sebaik-baiknya.
“Kita (PAS) sudah buat sebaik-baiknya. Kita banyak pengalaman, kita sudah kerjasama dengan semua (pihak). Bacalah sejarah (PAS) tahun 50-an, 60-an.
“Siapa yang kerjasama dengan kita (PAS), kita terus dan yang tak kerjasama dengan kita itu, sama ada (parti) ‘mati’ ataupun berkecai, terkulai (bubar), tak perlu saya sebutkan namalah (tersenyum).
“Tak perlu saya kata apa (kepada Zahid), baca sejarahlah. Kamu baca sejarah itu daripada tahun 50-an.
“PAS kerjasama dengan Parti Negara, Parti Negara ke mana sekarang? (tapi) PAS ada lagi. Kerjasama dengan Parti Sosialis, PAS ada lagi, Parti Sosialis di mana sekarang? Kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), PAS ada lagi, Barisan Nasional di mana sekarang? Kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, PAS ada lagi (tapi) Semangat 46 di mana? dan banyaklah (lagi) baca sejarah itu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dato’ Seri Abdul Hadi bersetuju dengan pandangan Musryidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin bahawa PAS akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang kurang mudaratnya jika diberi pilihan itu.
“Ya, betullah (Mursyidul Am) dan itulah asas kita (PAS). Itu biar orang (rakyat) tengoklah siapa (parti) yang beri mudarat. Siapa yang sedang membawa mudarat sekarang.
“Kita (PAS) baru buat perbincangan dengan MN. Dalam Umno pun kamu lihat sendiri. Umno Sabah lain, Umno Perlis lain, Umno Johor lain, Umno Selangor pun lain.
“Kita (PAS) pilih yang bersama dengan kita. Sehingga hari ini Menteri-menteri (Umno) tak letak jawatan dan kerajaan kita (PN) terus (memerintah) dan kita hendak selesai masalah Covid-19, itu yang pentingnya. Masalah ekonomi rakyat dan sebagainya.
“Sehingga ini kita (PAS) masih terus dengan PN secara rasminya,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.