Umno di ambang perpecahan besar sejak skandal 1MDB
“Dia sebut ‘No Anwar, No DAP’ dalam ucapan itu hanya untuk memuaskan hati perwakilan. Yang sebenarnya dia hanya mahu ‘No Bersatu’,” kata pembantu kepada pemimpin veteran Umno kepada MalaysiaNow.
(Malaysia Now) – MalaysiaNow difahamkan Umno kini sedang berada di ambang perpecahan besar sejak beberapa pimpinannya dipecat daripada parti itu pada 2016, membelakangi keputusan sebulat suara perwakilan dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.
Sebuah gerakan melibatkan pimpinan kanan parti itu sedang diusahakan bagi menggulingkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden dengan memastikan pemilihan parti tidak ditangguhkan.
“Mereka percaya Zahid akan jadi macam Najib dalam pilihan raya umum akan datang,” kata sumber kepada MalaysiaNow merujuk kejatuhan bekas perdana menteri Najib Razak ketika pilihan raya umum 2018.
“Jalur yang memisahkan antara Zahid dan mereka yang mahu Umno cari sekutu-sekutu baru, adalah mereka yang terima naratif bahawa zaman sudah berubah dan parti dah tak boleh jadi macam dulu,” katanya.
Menurut sumber itu, Zahid hanya mendapat sokongan daripada dua individu dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Mereka adalah Tajuddin Abdul Rahman dan Puad Zarkashi,” katanya.
Sumber menambah, ini dapat dilihat dalam kebanyakan mesyuarat MKT, hanya dua pemimpin ini secara jelas menyokong rancangan Zahid untuk memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Kumpulan yang mahu menyingkirkan Zahid mengatakan Umno tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin, bekas timbalan presiden Umno yang dipecat kerana mengkritik penglibatan kerajaan dalam skandal 1MDB.
Perwakilan-perwakilan yang berucap dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini juga bergilir-gilir menghalakan serangan terhadap Muhyiddin dan Bersatu selain menyatakan sokongan terhadap Zahid yang mahu memutuskan hubungan dengan parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Sumber turut menambah perkataan seperi “selamatkan Umno” sering timbul dalam pertemuan-pertemuan tidak formal dalam kalangan pimpinan parti.
“Cara dia ‘conduct’ pun dia suruh semua orang berdiri baru putuskan keputusan untuk semua setuju menteri dalam Kabinet letak jawatan, jadi semua orang tak tau nak setuju atau tidak,” kata sumber merujuk ucapan penggulungan ringkas Zahid selama 10 minit di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
“Dia minta semua orang dalam dewan untuk bangun jika menyokong cadangannya. Ia menyebabkan kekeliruan ketika seluruh negara sedang memerhatikan mereka,” kata sumber yang menolak dakwaan Zahid dan Umno menteri daripada parti itu diberikan jawatan tidak penting dalam Kabinet.
Menurut sumber lagi, ramai pemimpin yang menolak dakwaan Zahid bahawa beliau masih memegang prinsip “No Awar, No DAP” ketika melakukan usaha kerjasama.
“Dia sebut ‘No Anwar, No DAP’ dalam ucapan itu hanya untuk memuaskan hati perwakilan. Yang sebenarnya dia hanya mahu ‘No Bersatu’,” kata pembantu kepada pemimpin veteran Umno kepada MalaysiaNow.
Zahid dan Najib yang mengetuai BN ketika gabungan itu kalah pada 2018 menjadi pengkritik lantang Muhyiddin dan kerajaan PN.
Muhyiddin dipecat dari Umno dan menubuhkan Bersatu. Parti baru itu kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), gabungan politik yang kemudiannya berjaya menamatkan enam dekad pentadbiran Umno.
Selain itu, kedua-dua pemimpin Umno itu turut menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam usahanya mengambil alih Putrajaya dari Muhyiddin.
Sejak itu, beberapa pimpinan Umno yang diketuai mereka berdua dilihat semakin rapat dengan PKR.
Bulan lalu, Anwar dan Zahid turut mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa mengesahkan lagi hubungan antara kedua-dua pemimpin parti itu.
Sementara itu, beberapa pimpinan Umno secara terbuka menggesa pemilihan parti diadakan kerana menurut mereka kepimpinan ketika ini tidak mampu berdepan pilihan raya.
Gesaan itu disuarakan oleh pimpinan Umno termasuk Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican dan Annuar Musa.
Baru-baru ini Khairy turut dilihat menyindir keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selesai PRU.
Hal ini kerana menurutnya keputusan serupa pada 2018 juga tidak memberi manfaat kepada parti.
“Pada 2018 kita tangguhkan pemilihan parti selepas PRU, lingkup juga.” katanya.
Gerakan untuk menjatuhkan presiden Umno itu masih belum dapat dijangka sama ada ia akan betul-betul berjaya atau tidak.
Namun sejarah parti itu kebelakangan ini, usaha sedemikian sering bertemu kegagalan.
Ketika kemuncak skandal 1MDB pada 2015, ramai ketua bahagian Umno yang mengkritik isu itu dipecat daripada parti.
Pada 2016, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir pula dipecat kerana mengkritik pimpinan parti.
Anwar sendiri dipecat dari Umno pada 1998 kerana dilihat menentang bosnya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.