Sampai bila nak diam tentang surat Zahid sokong Anwar jadi PM, soal Annuar
(FMT) – Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa terpaksa terima Perhimpunan Agung Umno 2020 tidak membincangkan surat sokongan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, untuk Yang di-Pertuan Agong melantik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Beliau berkata PAU “senyap” tentang perkara itu walaupun dokumen itu, yang dikatakan ditandatangani sendiri oleh Zahid, tidak pernah dinafikan.
“Perwakilan dihidangkan dengan satu janji dan ikrar, pengakuan bahawa tak pernah ada perjumpaan atau rundingan – baik rasmi atau tidak. Maka untuk buat masa ini, kerana nak menjaga keharmonian dalam parti, kita terima dulu seadanya,” katanya di Facebook semalam, ditanya adakah beliau percaya tiada kerjasama dengan Anwar seperti yang dijelaskan Zahid pada PAU bulan lepas.
Namun beliau tertanya sampai bila surat itu tidak akan dibincangkan.
“Kerana kalau dulu buat parti tidak ambil tindakan mungkin akan ada lagi tindakan-tindakan yang tidak serupa dengan apa yang dimaklumkan pada PAU,” tambahnya.
Zahid dalam ucapannya dasarnya pada himpunan itu akur dengan keputusan “No Anwar” oleh Majlis Kerja Tertinggi, mengatakan tidak ada perbincangan dengan Anwar atau partinya, PKR.
Surat yang disebut Annuar merujuk kepada dokumen yang beliau tunjukkan pada sidang media Januari lepas, bertarikh 11 Okt yang dikatakan ditulis Zahid kepada Agong, menyatakan sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai calon perdana menteri kesembilan, sekali gus menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
Annuar berkata mengemukakan fakta yang tidak benar kepada perwakilan adalah mempersendakan perhimpunan agung itu.
“Saya boleh didakwa sebagai ‘defamation’ atau melakukan sesuatu mencemar nama baik presiden,” katanya.
Pada September tahun lepas, Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen pelbagai parti untuk dipersembahkan kepada Agong.